HADIAH ISTIMEWA BUAT TIGA KELUARGA ORANG ASLI PENERIMA RUMAH PPRS

Kemaman,16 Jun 2026 | Sinar kebahagiaan menjelma buat tiga keluarga Orang Asli apabila impian untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya menjadi kenyataan melalui Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).
Majlis penyerahan replika kunci rumah telah disempurnakan oleh Yang Mulia Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH bersama-sama Encik Mohd Abdillah bin Ali, Pegawai JAKOA Terengganu, Dr. Mohd Zaki bin Haji Salleh, Penyelaras JPKKP Dun Air Putih, Encik Roslan bin Semail, Tok Batin Komuniti Orang Asli Sungai Pergam, dan Encik Yu bin Kedam,Pengerusi JPKKOA Sungai Pergam. Penyerahan tersebut menjadi simbol komitmen berterusan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui KETENGAH dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa diberi keutamaan.
Puan Habsah Endah (56 tahun), Puan Basirah Bali (28 tahun) dan Encik Khairul Nizam (27 tahun) dari Kampung Orang Asli Sungai Pergam, Kemaman, merupakan penerima bantuan di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dalam wilayah KETENGAH. Rumah yang dibina melibatkan kos sebanyak RM79,000.00, sekali gus menyediakan kediaman yang lebih selamat dan selesa untuk mereka dan keluarga.
Program ini merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu golongan miskin dan miskin tegar memiliki kediaman yang lebih berkualiti. Rumah yang dibina menepati spesifikasi keselamatan serta dilengkapi kemudahan asas yang sempurna bagi menjamin keselesaan dan kesejahteraan hidup penerima.
Yayasan KETENGAH turut menyampaikan sumbangan dapur gas kepada tiga keluarga tersebut bagi meringankan beban keperluan asas mereka.





