AL MUKTAFI BILLAH SHAH, 16 Mac 2026 – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) terus memperkukuh iltizam dalam menyantuni masyarakat wilayah melalui penganjuran Program Agihan Kuih Raya 2026 serta penyampaian Sumbangan Sinar Syawal dan Tabung Amanah Masyarakat KETENGAH (TAMK) yang berlangsung penuh bermakna di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) AMBS.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Tuan Haji Mahdi Amin bin Ahmad, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KETENGAH dengan diiringi Encik Mohd Azmi bin Muda, Pengerusi PPDK AMBS. Turut hadir ialah Encik Jafre bin Taib, Pengurus Pembangunan Masyarakat dan Sosial. Kehadiran barisan kepimpinan KETENGAH ke lapangan mencerminkan keprihatinan agensi dalam memberi sokongan moral kepada peserta serta ahli keluarga menjelang penghujung Ramadan.
Melalui peruntukan Tabung Amanah Masyarakat KETENGAH (TAMK), seramai 35 peserta PPDK AMBS telah menerima sumbangan tunai. Majlis turut diserikan dengan agihan kuih raya hasil sumbangan Jawatankuasa PPDK Al Muktafi Billah Shah sebagai simbolik persediaan menyambut Aidilfitri.
Sumbangan yang disalurkan diharap dapat meringankan beban kewangan keluarga serta membawa keceriaan kepada penerima dalam menyambut Syawal. Inisiatif ini juga mencerminkan tanggungjawab sosial korporat KETENGAH dalam memastikan kebajikan golongan kelainan upaya terus diberi perhatian.
Penghargaan turut dirakamkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga semangat kebersamaan dan nilai ihsan terus diperkukuh dalam kalangan masyarakat Wilayah KETENGAH.







