LAWATAN SAMBIL BELAJAR PERKEP IBU PEJABAT POLIS DAERAH DUNGUN BERSAMA YBHG, PENGERUSI PERKEP KONTINJEN TERENGGANU KE MUZIUM BUKIT BESI

Muzium Bukit Besi telah menerima kunjungan seramai 17 orang ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, Terengganu pada 03 September 2026. Lawatan tersebut telah diketuai oleh Puan Wan Nooriziana Binti Ibrahim, Puan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, Terengganu.
Lawatan ini bertujuan memberikan pendedahan dan meningkatkan pengetahuan pengunjung mengenai sejarah perlombongan bijih besi di Bukit Besi, di samping memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat dengan lebih dekat mengenai koleksi pameran, bahan sejarah serta informasi berkaitan perkembangan industri perlombongan bijih besi yang pernah menjadi antara kegiatan perlombongan terbesar di Malaysia pada suatu ketika dahulu.
Melalui lawatan sebegini, pengunjung berpeluang menghayati sejarah dan warisan Bukit Besi serta memahami dengan lebih mendalam sumbangan industri perlombongan terhadap perkembangan ekonomi dan pembangunan kawasan tersebut. Diharapkan kunjungan ini dapat memperkayakan ilmu pengetahuan serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memelihara dan menghargai warisan sejarah perlombongan di Bandar Bersejarah Bukit Besi.
Program seperti ini juga menjadi salah satu medium promosi yang berkesan dalam memperkenalkan Muzium Bukit Besi sebagai destinasi pendidikan dan pelancongan berasaskan sejarah dan warisan. Pada masa yang sama, ia dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dengan agensi kerajaan, persatuan dan organisasi luar dalam usaha memperluaskan promosi pelancongan serta pendidikan warisan di Wilayah KETENGAH.





