LAWATAN PENANDA ARAS AKRAB MBIP KE KETENGAH PERKUKUH KERJASAMA DAN KESEJAHTERAAN WARGA KERJA

DUNGUN, 2 September 2026 – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menerima kunjungan lawatan penanda aras daripada Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Johor bagi memperkukuh kerjasama serta perkongsian amalan terbaik dalam pelaksanaan program AKRAB.
Rombongan seramai 20 orang tersebut diketuai oleh Puan Hajah Nur Huda binti Sanusi, Pegawai Undang-Undang merangkap Naib Pengerusi AKRAB MBIP dan turut disertai Puan Balkish binti Ab Kadir, Pegawai Psikologi merangkap Penyelaras AKRAB MBIP. Rombongan telah disambut oleh Tuan Haji Mohd Radzi bin Md Noor, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) merangkap Pengerusi AKRAB KETENGAH.
Lawatan penanda aras ini bertujuan memberikan pendedahan kepada rombongan AKRAB MBIP mengenai amalan terbaik dalam pelaksanaan program AKRAB dan program mentor-mentee. Lawatan ini turut memberi tumpuan kepada aspek pengurusan dan pelaksanaan program, penyampaian perkhidmatan psikologi dan kaunseling serta pembangunan kompetensi dalam kalangan ahli AKRAB.
Selain menjadi medan perkongsian ilmu dan pengalaman, lawatan ini juga membuka ruang untuk bertukar pandangan dan meneroka pendekatan terbaik yang dapat meningkatkan keberkesanan pelaksanaan program AKRAB, khususnya dalam menyokong kesejahteraan dan pembangunan warga kerja.
KETENGAH merakamkan penghargaan atas kunjungan serta perkongsian ilmu dan pengalaman yang diberikan oleh rombongan AKRAB MBIP. Semoga jalinan kerjasama yang terjalin ini dapat terus diperkukuh dalam usaha memperkasakan perkhidmatan awam yang berkualiti, berintegriti dan berorientasikan kesejahteraan warga kerja.





