KETENGAH SERTAI SEMINAR IDEA@KKDW: KESEDARAN KESELAMATAN SIBER TAHUN 2026

PUTRAJAYA, 21 SEPTEMBER 2026 – KETENGAH turut menyertai Seminar IDEA@KKDW: Kesedaran Keselamatan Siber Tahun 2026 yang membawa tema “Di Sebalik Skrin: Ancaman Siber, Identiti dan Realiti AI”.
Seminar yang telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) ini menjadi platform dalam meningkatkan kesedaran warga KKDW serta agensi di bawahnya berkaitan ancaman keselamatan siber yang semakin kompleks seiring perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Selain menyertai seminar, KETENGAH turut diberikan kepercayaan sebagai salah satu daripada 10 pempamer yang terlibat dalam mengetengahkan teknologi dan inovasi terkini kepada para peserta.
Menerusi pameran tersebut, KETENGAH mengetengahkan teknologi Virtual Reality (VR) sebagai medium interaktif bagi memperkenalkan destinasi serta produk pelancongan di Wilayah KETENGAH, khususnya Tasik Kenyir.
Penggunaan teknologi VR ini menawarkan pengalaman yang lebih imersif dan interaktif, membolehkan para peserta meneroka destinasi pelancongan KETENGAH secara maya seolah-olah berada di lokasi sebenar.
YBhg. Dato’ Sri Suriani turut berkesempatan mencuba teknologi VR tersebut dan merasai sendiri pengalaman meneroka Tasik Kenyir secara maya. Beliau melahirkan rasa teruja dengan pengalaman berkenaan dan menyifatkannya seolah-olah berada sendiri di Tasik Kenyir.
Turut mengikuti sesi tersebut ialah Tuan Haji Mahdi Amin bin Ahmad, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KETENGAH, dan Encik Hazroll Eizwal bin Jasni, Pengurus Pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi KETENGAH.
Penyertaan ini mencerminkan komitmen KETENGAH dalam meneroka dan memanfaatkan teknologi digital sebagai pemangkin inovasi, di samping memperkenalkan potensi pelancongan Wilayah KETENGAH melalui pendekatan yang lebih kreatif, interaktif dan berteraskan teknologi.





