MAJLIS TAMAT LATIHAN PROGRAM LATIHAN KEMAHIRAN DAN KERJAYA (PLKK) TAJAAN KETENGAH 2026

HULU TERENGGANU, 15 NOVEMBER 2026 – Seramai 34 peserta telah berjaya menamatkan latihan menerusi Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) Tajaan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) yang dikendalikan oleh Akademi Binaan Malaysia (ABM), Jenagor, Hulu Terengganu.
Program latihan ini melibatkan empat bidang kemahiran iaitu Kursus Pemasangan Paip Gas, Kursus Insulasi Paip Gas, Kursus Hydraulic Excavator dan Kursus Mobile Crane. Kesemua kursus ini dirangka bagi memberikan pendedahan serta meningkatkan kemahiran teknikal peserta agar lebih bersedia memenuhi keperluan dan permintaan industri semasa.
Majlis penyampaian sijil tamat latihan telah disempurnakan oleh Pengurus Pembangunan Masyarakat dan Sosial KETENGAH, Encik Jafre bin Taib, yang turut diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur, Yang Berusaha Tuan Haji Ahmad Kamil bin Yusof.
Pelaksanaan PLKK ini merupakan antara inisiatif KETENGAH dalam memperkasa pembangunan modal insan melalui penyediaan latihan kemahiran yang berorientasikan keperluan industri. Inisiatif ini juga bertujuan meningkatkan kebolehpasaran peserta, membuka peluang pekerjaan serta membantu meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat di wilayah KETENGAH.
Diharapkan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang tempoh latihan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta sebagai bekalan untuk melangkah ke alam pekerjaan serta membina kerjaya yang lebih baik pada masa hadapan.
Tahniah dan syabas kepada semua 34 peserta yang telah berjaya menamatkan latihan dan mendapat penempatan pekerjaan. Semoga kejayaan ini menjadi titik permulaan kepada masa depan kerjaya yang lebih cemerlang.





