KAMPUNG DENDANG SEBAGAI KAMPUNG ANGKAT MADANI KETENGAH

24 OGOS 2026 | DUNGUN - Kampung Dendang, Dungun telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan (MOF) sebagai Kampung Angkat MADANI (KAM) di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).
Inisiatif ini dilaksanakan menerusi pendekatan Whole of Government (WoG) dengan menggembleng kerjasama pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan keperluan dan permasalahan masyarakat dapat ditangani secara menyeluruh serta memberi impak langsung kepada komuniti.
Turut diluluskan ialah pencalonan Sekolah Kebangsaan Dendang sebagai Sekolah Angkat MADANI (SAM) KETENGAH, sekali gus memperluaskan manfaat inisiatif ini kepada pembangunan pendidikan dan generasi muda setempat.
Sehubungan itu, Pengurus Besar KETENGAH, YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, bersama pengurusan KETENGAH telah turun padang meninjau keadaan semasa kampung dan sekolah serta melihat sendiri cadangan projek yang bakal dilaksanakan menerusi peruntukan Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM).
Dalam kunjungan tersebut, beliau turut meninjau aktiviti gotong-royong penduduk membersihkan kawasan masjid sebagai persiapan sambutan Maulidur Rasul pada malam ini.
Semangat kebersamaan dan penglibatan aktif penduduk ini mencerminkan kekuatan komuniti Kampung Dendang dalam bersama-sama menjayakan agenda pembangunan kampung.
KETENGAH terus komited memastikan pelaksanaan Kampung Angkat MADANI (KAM) memberi manfaat nyata kepada rakyat serta meningkatkan kesejahteraan komuniti, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.





