KUNJUNGAN POLITEKNIK HULU TERENGGANU

Muzium Bukit Besi hari ini telah menerima kunjungan Lawatan Sambil Belajar daripada Politeknik Hulu Terengganu,Terengganu yang melibatkan seramai 37 orang peserta, terdiri daripada 36 orang pelajar dan seorang pensyarah pengiring yang telah diketuai oleh Cik Maherar Binti Refin, Pensyarah Diploma Pelancongan Rekreasi.
Lawatan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada para pelajar berkaitan sejarah perlombongan dan pemprosesan bijih besi di Bukit Besi, yang bermula sekitar tahun 1930 oleh Syarikat Nippon Mining Company (NMC) dan kemudiannya diteruskan sehingga aktiviti perlombongan berakhir pada tahun 1971 oleh Syarikat Eastern Mining and Metal Company (EMMCO). Sepanjang lawatan, para pelajar telah diberikan penerangan berkaitan sejarah perkembangan Bukit Besi, kaedah perlombongan dan pemprosesan bijih besi.
Selain itu, peserta turut berpeluang untuk meninjau pelbagai artifak, bahan pameran dan tinggalan warisan perlombongan yang dipamerkan di Muzium Bukit Besi. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak Politeknik Hulu Terengganu, Terengganu atas kunjungan ke Muzium Bukit Besi. Semoga lawatan ini menjadi pengalaman yang bermakna serta dapat meningkatkan pengetahuan serta kesedaran generasi muda terhadap kepentingan memelihara dan menghargai sejarah dan warisan Bukit Besi.





