logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

BEKERJA DENGAN INTEGRITI, BERKHIDMAT DENGAN HATI, DAN MEMBANGUN BERSAMA RAKYAT

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) telah menganjurkan Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu 2026 bertempat di Balai Orang Ramai (BALORA), Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu.

Majlis ini menghimpunkan seluruh warga KETENGAH termasuk pegawai serta kakitangan anak-anak syarikat sebagai platform penyampaian hala tuju organisasi di samping memperkukuh semangat kerja berpasukan dalam menghadapi cabaran tahun baharu.

Majlis dimulakan dengan lafaz Ikrar Perkhidmatan Awam sebagai simbol komitmen warga kerja terhadap amanah dan tanggungjawab perkhidmatan kepada rakyat. Seterusnya, hadirin disajikan dengan tayangan video yang memaparkan pencapaian pelbagai program dan projek pembangunan KETENGAH sepanjang tahun 2025, sekali gus mencerminkan usaha berterusan organisasi dalam memperkasa pembangunan wilayah dan kesejahteraan masyarakat setempat.

Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH, sebelum disusuli dengan Ucapan Amanat Tahun Baharu 2026 oleh YBhg. Dato’ Rozi bin Mamat, Pengerusi KETENGAH.

Dalam amanatnya, YBhg. Dato’ Rozi menegaskan bahawa KETENGAH bukan sekadar sebuah agensi pembangunan, malah merupakan sebuah institusi amanah yang memikul tanggungjawab besar terhadap pembangunan wilayah, kesejahteraan masyarakat serta masa depan ribuan keluarga di wilayah KETENGAH. Beliau menekankan bahawa peranan KETENGAH adalah signifikan dan perlu diterjemahkan melalui tindakan berkesan yang memberi impak secara langsung kepada rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa kehadiran KETENGAH mestilah benar-benar dirasai oleh rakyat, bukan hanya melalui pelan strategik, laporan atau statistik semata-mata, tetapi melalui pelaksanaan program dan tindakan di peringkat lapangan. Rakyat, menurut beliau, perlu melihat KETENGAH sebagai sebuah agensi yang sentiasa hadir ketika diperlukan, mendengar suara serta keperluan masyarakat dan bertindak secara proaktif dalam menangani isu serta permasalahan setempat.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh warga KETENGAH agar terus bersatu padu, memperkukuh kesepaduan pasukan, memperjelas hala tuju organisasi serta berani melakukan perubahan ke arah penambahbaikan berterusan. Pendekatan ini, jelas beliau, penting bagi memastikan KETENGAH kekal sebagai sebuah institusi pembangunan yang dihormati, diyakini dan dirasai manfaatnya oleh seluruh masyarakat wilayah.

Sebagai penegasan kepada aspirasi dan hala tuju organisasi bagi tahun 2026, beliau mengajak seluruh warga KETENGAH untuk menjadikan azam berikut sebagai pegangan bersama dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab:
“Bekerja dengan integriti, berkhidmat dengan hati, dan membangun bersama rakyat.”
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah pengerusi-pengerusi anak syarikat KETENGAH. Majlis diakhiri dengan bacaan selawat secara beramai-ramai.