KEJOHANAN GOLF JEMPUTAN KETENGAH (KGJK) 2026 MERIAHKAN SAMBUTAN HARI SUKAN NEGARA (HSN) 2026 DAN PENGANJURAN KETENGAH TERENGGANU INTERNATIONAL JUNIOR GOLF MASTERS (KTIJGM) 2026

DUNGUN, 10 Oktober 2026 – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) telah menganjurkan Kejohanan Golf Jemputan KETENGAH (KGJK) 2026 yang berlangsung di Kelab Golf Bukit Besi, Dungun, Terengganu. Kejohanan ini menghimpunkan seramai 76 pemain yang mewakili 38 kumpulan, terdiri daripada agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri serta rakan strategik KETENGAH. Kejohanan ini diadakan bersempena dengan pelancaran KETENGAH Terengganu International Junior Golf Masters (KTIJGM) 2026 serta sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026.
Penganjuran kejohanan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim, memperkukuh jaringan kerjasama strategik serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan peserta. Majlis perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KETENGAH, YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa.
Kejohanan ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Abdul Kahar bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), serta wakil agensi kerajaan dan rakan strategik KETENGAH. Penganjuran KGJK 2026 diharap dapat memperkukuh hubungan strategik antara KETENGAH dengan pelbagai pihak berkepentingan di peringkat Persekutuan dan Negeri, sekali gus memperluas peluang kerjasama dalam menyokong agenda pembangunan Wilayah KETENGAH.
Selain itu, kejohanan ini turut menjadi platform untuk mempromosikan KTIJGM 2026, yang dianjurkan oleh KETENGAH dengan kerjasama Persatuan Golf Terengganu. Kejohanan tersebut dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 14 Oktober 2026 di Kelab Golf Bukit Besi (KGBB).
Penganjuran KTIJGM 2026 diharap dapat menyemarakkan pembangunan sukan golf dalam kalangan pemain junior serta meningkatkan potensi Wilayah KETENGAH sebagai destinasi penganjuran acara sukan dan pelancongan.





