logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

PROGRAM BIKE MEET SEMPENA FESTIVAL KENYIR GEOPARK 2025

Program Bike Meet sempena Festival Kenyir Geopark (FKG) 2025 telah menambah kemeriahan festival dengan kehadiran konvoi motosikal berkuasa tinggi yang diketuai oleh Yang Amat Mulia Tengku Sri Temenggung Raja, Dato’ Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah.

Konvoi ini bermula dari Bandar Kuala Terengganu menuju ke Tasik Kenyir dan dalam perjalanan, konvoi telah singgah di pekarangan Surau Kampung Basung bagi menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada golongan asnaf dan orang kurang upaya. Ketibaan rombongan telah disambut oleh YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH. Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan serta semangat kebersamaan para peserta terhadap masyarakat setempat.

Selepas selesai acara penyerahan sumbangan, konvoi meneruskan perjalanan menuju ke Tapak Festival Kenyir Geopark di Pulau Poh, Tasik Kenyir. YAM Tengku Sri Temenggung Raja bersama-sama peserta konvoi turut meninjau kemeriahan festival.

FKG 2025 menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran agensi, persembahan kebudayaan dan pentas, sukan air, pertandingan sukan rakyat, dan jualan produk usahawan tempatan.

Program Bike Meet ini bukan sahaja menyerikan festival, malah menjadi simbol perpaduan, semangat kekitaan dan sokongan terhadap usaha mempromosikan Kenyir Geopark sebagai destinasi pelancongan utama di negeri Terengganu.