Header Portal

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, Karung Berkunci No 3, 23400, Al Muktafi Billah Shah

Tel: 09-8231000|Emel: ketengah@ketengah.gov.my

ENAM PELAJAR TERIMA SUMBANGAN PENDIDIKAN YAYASAN KETENGAH

30 Jun 2026
ENAM PELAJAR TERIMA SUMBANGAN PENDIDIKAN YAYASAN KETENGAH

30 Jun 2026– Seramai enam pelajar menerima Sumbangan Pendidikan Yayasan KETENGAH dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di Ibu Pejabat KETENGAH, Bandar Al Muktafi Billah Shah, hari ini.


Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi KETENGAH, YBhg. Dato’ Rozi bin Mamat bersama-sama Pengurus Besar KETENGAH, YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa sebagai usaha membantu meringankan beban kewangan keluarga yang mempunyai anak melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.


Salah seorang penerima, Encik Rosdi bin Razak, yang bekerja sebagai pekerja ladang, mewakili anaknya menerima sumbangan berkenaan. Anaknya kini sedang melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor. Menurut beliau, bantuan daripada Yayasan KETENGAH amat bermakna kerana dapat membantu mengurangkan beban kewangan keluarga. ”Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Yayasan KETENGAH, khususnya kepada YBhg. Dato’ Rozi, atas keprihatinan dan bantuan yang telah diberikan. Sumbangan ini amat bermakna kepada kami dan sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan keluarga,” katanya.


Seorang lagi penerima, Puan Noor Pipa binti Mamat, turut menzahirkan rasa syukur atas bantuan yang diterima. Beliau yang bekerja sebagai petugas kebersihan berkata, sumbangan tersebut sedikit sebanyak membantu perbelanjaan pengajian anaknya. Beliau berkata, selepas pemergian suaminya kira-kira 10 tahun lalu, beliau memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan menjadi tunjang utama dalam menyara anak-anak.


“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan KETENGAH atas bantuan yang dihulurkan. Sumbangan ini amat bermakna buat saya. Terima kasih kepada YBhg. Dato’ Rozi dan YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri atas keprihatinan terhadap nasib yang menimpa kami,” katanya. Anak beliau kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Seni (Reka Bentuk Perindustrian) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).


Program Sumbangan Pendidikan Yayasan KETENGAH merupakan antara inisiatif berterusan yang dilaksanakan bagi membantu anak-anak wilayah KETENGAH melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi. Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan keluarga, malah menjadi manifestasi komitmen Yayasan KETENGAH dalam memperkasa pembangunan modal insan yang berpendidikan, berkemahiran dan berdaya saing.

Galeri

Hubungi Kami

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH)
Bandar Al-Muktafi Billah Shah
23400 Dungun, Terengganu
Tel: +609 8231000
Faks: +609 8223105

Statistik Pelawat

Hari Ini
249
Bulan Ini
17,184
Jumlah
3,962,064

Kemaskini: 30 September 2026

    © 2026 Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah. Semua hak cipta terpelihara.