KEMBARA PENGAJIAN TINGGI @ TERENGGANU 2026: MEMPERKASA PENDIDIKAN, MENCERIAKAN KOMUNITI

BANDAR AL MUKTAFI BILLAH SHAH, 27 JUN – Program Kembara Pengajian Tinggi @ Terengganu 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Padang Astaka Balai Orang Ramai (BALORA), AMBS dengan sambutan yang amat menggalakkan daripada komuniti setempat.
Program bermula seawal jam 7.30 pagi dengan pendaftaran peserta, diikuti sesi senamrobik dan Brisk Walk bersama komuniti yang telah dilepaskan oleh YBhg. Dato’ Haji Din bin Adam, Pengerusi Yayasan Pendidikan dan Kebajikan Dungun. Turut hadir ialah Tuan Haji Mahdi Amin bin Ahmad, Timbalan Pengurus Besar Operasi KETENGAH dan Tuan Haji Radzi bin Md Noor, Timbalan Pengurus Besar Pembangunan KETENGAH bersama barisan pengurusan, pegawai dan kakitangan KETENGAH serta Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Program ini berjaya menghimpunkan lebih 1,000 orang penduduk sekitar Bandar Al Muktafi Billah Shah, sekali gus mencerminkan komitmen komuniti dalam menyokong usaha memperkasakan pendidikan tinggi dan membudayakan gaya hidup sihat.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai pengisian menarik telah diadakan termasuk Klinik Petanque, pemeriksaan kesihatan dan mamogram percuma, Program Ziarah Kasih, slot taklimat “Jom ke IPT” bagi memberi pendedahan mengenai peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, selain acara sukan rakyat dan cabutan bertuah yang menceriakan suasana serta mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada para pengunjung.
KETENGAH merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga AMBS, Pejabat Daerah Dungun ( PPD ), Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu ( JPNT ) rakan strategik UniSZA serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan sokongan sehingga program ini berjaya dilaksanakan.





