Telah berlangsung Program Satu Kampung, Satu Pemimpin (Santuni Madani) – Intervensi Sosial Anak Muda (INSAN) Wilayah KETENGAH Tahun 2025 bertempat di Sekolah Kebangsaan Landas, Ajil, Hulu Terengganu pada hari Jumaat, 21 Februari 2025 baru-baru ini.
Kampung Baru Sungai Binjai telah dipilih daripada 115 buah kampung tradisi di seluruh Wilayah KETENGAH oleh YM Dato’ Pengurus Besar KETENGAH sebagai Kampung Angkat dalam program Santuni Madani ini.
Program ini bertujuan bagi meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat melalui proses libat urus bagi mengenalpasti masalah dan keperluan penduduk seterusnya mengadakan penyelesaian selaras dengan prinsip Localised Sustainable Development Goals (SDG).
Program yang bertemakan Pendidikan Pencegahan Dadah dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ini menampilkan beberapa aktiviti seperti ceramah, latihan dalam kumpulan (LDK) dan pameran antidadah. Turut diadakan adalah acara sampingan untuk ibu bapa, remaja, kanak – kanak dan komuniti setempat seperti sepak penalti, shoot bola jaring, sukaneka dan pertandingan mewarna.
Penglibatan daripada warga Kampung Baru Sungai Binjai dan komuniti setempat adalah sangat memberangsangkan dengan penyertaan lebih daripada 350 orang peserta. Ini adalah bukti komitmen warga desa di Wilayah KETENGAH dengan kerjasama yang begitu baik oleh JPKKP Kampung Baru Sungai Binjai, pengurusan Sekolah Kebangsaan Landas dan pengurusan KETENGAH dalam memastikan program dapat berjalan dengan lancar.
Yang Mulia Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH telah berkesempatan untuk merasmikan acara penutup dan menyampaikan hadiah pertandingan serta cabutan bertuah.
Program tersebut turut dihadiri YM Tengku Mahri bin Tengku Chik, Ahli Jemaah Lembaga KETENGAH, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Landas dan barisan pengurusan KETENGAH.
KETENGAH sentiasa menyokong aktiviti pembangunan belia dan aktiviti masyarakat bagi memastikan wujudnya pembangunan yang seimbang daripada segi pembangunan fizikal dan insaniah dalam Wilayah KETENGAH.