KUNJUNG HORMAT KETENGAH KE PEJABAT DAERAH DAN TANAH KEMAMAN

Pada 23 Jun 2026, KETENGAH telah mengadakan satu sesi kunjungan hormat bersama-sama Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Kemaman, Tuan Haji Ahmad Nazwawi bin Harun. Delegasi KETENGAH diketuai oleh Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Tuan Haji Mohd Radzi bin Md Noor bersama-sama barisan pengurusan iaitu Encik Mohd Faiq bin Mohd Abd Majid (Pengurus Ekonomi dan Usahawan), Encik Mohd Hafiz bin Ahmad (Pengurus Pelancongan) dan pegawai-pegawai KETENGAH.
Pertemuan tersebut diadakan bagi membentangkan perancangan Projek Pemerkasaan Pemuliharaan Tuntung Sungai di bawah Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) Kemaman. Perbincangan juga tertumpu kepada tapak bagi cadangan pembinaan Pusat Konservasi Tuntung Sungai yang baharu. Keperluan pembinaan pusat baharu ini timbul berikutan fasiliti pusat penerangan sedia ada yang terletak bersebelahan Dewan Orang Ramai (DORA) Kampung Pasir Gajah tidak lagi mampu menampung peningkatan jumlah pengunjung.
Pelaksanaan projek pembinaan pusat konservasi baharu ini dijangka memberi impak positif yang menyeluruh terhadap pembangunan sosioekonomi penduduk setempat. Selain memastikan kelestarian spesies tuntung sungai yang semakin terancam, pusat ini akan diperkasakan sebagai produk ekopelancongan berasaskan biodiversiti yang berpotensi menjana sumber pendapatan baharu kepada komuniti setempat melalui aktiviti pelancongan. Inisiatif ini juga dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta memperkukuh pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berasaskan identiti tuntung sungai.





