KETENGAH Meriahkan Festival Halal Pantai Timur 2026

KUALA TERENGGANU, 25 Oktober 2026 – Penyertaan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menerusi Laman Usahawan KETENGAH dalam Festival Halal Pantai Timur 2026 yang berlangsung pada 21 hingga 25 Oktober 2026 di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, telah melabuhkan tirainya dengan jayanya.
Sepanjang lima hari penganjuran, Laman Usahawan KETENGAH menjadi platform mempromosikan pelbagai produk usahawan tempatan, sekali gus memperluas peluang pasaran dan memperkenalkan potensi produk keluaran usahawan di Wilayah KETENGAH kepada masyarakat umum.
Antara produk yang diketengahkan termasuk Minyak Masak K'Desa, Ayam Sejuk Beku KChicken keluaran KETENGAH Agrostock Sdn. Bhd., pelbagai makanan sejuk beku, produk makanan tradisional, aneka kerepek, kek lapis, minuman berasaskan buah-buahan serta produk kraftangan tempatan. Tawaran harga istimewa bagi produk terpilih turut menjadi antara tarikan kepada pengunjung.
Selain jualan produk, pengunjung turut berpeluang menikmati minuman herba percuma, menerokai destinasi pelancongan di Wilayah KETENGAH melalui pengalaman Virtual Reality (VR), serta menyertai kuiz interaktif dan permainan Kahoot yang memeriahkan suasana festival.
Penyertaan KETENGAH turut mendapat sokongan barisan pengurusan melalui kehadiran Tuan Haji Mohd Radzi bin Md Noor, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KETENGAH, bersama pengurus-pengurus bahagian dan pegawai KETENGAH yang berkunjung ke Laman Usahawan KETENGAH sepanjang penganjuran festival.
KETENGAH merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh tenaga kerja, petugas, usahawan serta semua pihak yang terlibat atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan kelancaran penyertaan sepanjang festival berlangsung.
Penyertaan dalam Festival Halal Pantai Timur 2026 ini mencerminkan komitmen berterusan KETENGAH dalam memperkasa pembangunan keusahawanan, memperluas jaringan pemasaran produk tempatan serta memperkukuh potensi ekonomi usahawan di Wilayah KETENGAH.





