Hari Psikologi 2025 telah berlangsung dengan penuh meriah pada 14 Oktober 2025 dan telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Roslan bin Mahmood, Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan). Sambutan tahun ini bertemakan “Kesihatan Mental untuk Semua”, yang menekankan kepentingan kesejahteraan emosi dan sokongan psikososial dalam kalangan warga kerja.Majlis ini turut dihadiri oleh seramai 17 orang ahli AKRAB KETENGAH serta kakitangan yang turut berperanan sebagai mentor dan menti.
Dalam majlis tersebut, KETENGAH telah menerima pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Mentor Terbaik 2025, yang disandang oleh En. Yusof bin Mahmod. Turut membanggakan, En. Wan Muhamad Fakrul Amin bin Wan Raimi telah berjaya meraih Anugerah Menti Terbaik 2025.
Selain itu, En. Mohd Nubairi Mat Nor, En. Zalizan Abd Rahman, Pn. Anne Salasiah binti Mukhtar, dan Pn. Norliza Mohd Nor turut menerima Anugerah AKRAB Care 2025 serta ditauliahkan sebagai AKRAB Care, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan sumbangan mereka dalam memupuk kesejahteraan psikososial warga kerja.
Menambahkan lagi keunikan penyertaan KETENGAH, organisasi ini turut mempersembahkan teknologi Realiti Maya (VR) di booth Jawatankuasa Induk AKRAB Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Pameran tersebut mengetengahkan pelbagai maklumat dan produk berkaitan KETENGAH, sekaligus menarik perhatian ramai pengunjung dan warga KKDW sepanjang program berlangsung.
Penyertaan aktif dan kejayaan yang diraih ini membuktikan komitmen KETENGAH dalam memperkukuh peranan AKRAB sebagai agen sokongan psikososial yang berkesan di tempat kerja serta memperkasa kesejahteraan warga organisasi secara menyeluruh, seiring dengan tema “Kesihatan Mental untuk Semua.”















