Hari Sukan Negara disambut bagi merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI dalam menjadikan sukan sebagai budaya hidup rakyat. Sehubungan itu, KETENGAH turut menganjurkan sambutan Hari Sukan Negara melibatkan penyertaan semua pegawai dan kakitangan.
Program ini diadakan di Kompleks Sukan Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu. Penganjuran ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan aktiviti fizikal serta membudayakan gaya hidup aktif dalam kalangan warga KETENGAH, sekali gus memperkukuh kesihatan dan kecergasan kakitangan.
Acara utama ialah aktiviti berjalan kaki sejauh 6 kilometer yang disertai secara bersemangat oleh para peserta. Lebih menarik, sebanyak 100 cabutan bertuah disediakan, dengan hadiah utama berupa sebuah televisyen pintar Toshiba bersaiz 43 inci.
Tahniah diucapkan kepada Encik Zainal bin Mukhtar@Jusoh yang bertuah memenangi hadiah cabutan utama, serta syabas kepada semua penerima hadiah yang lain.
Hadir sama pada program berkenaan Tuan Haji Ahmad Fakaruddin bin Ahmad, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) dan Tuan Haji Mahdi Amin bin Ahmad, Pengurus Kanan (Korporat) serta Pengurusan KETENGAH.
Sambutan ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan, malah mengukuhkan perpaduan dan kebersamaan warga kerja KETENGAH selaras dengan semangat Malaysia MADANI.
























