KETENGAH LAKSANA BENGKEL PENILAIAN RISIKO RASUAH (CRA), ANALISIS DATA DAN PELAN TINDAKAN OACP/OACS

PUTRAJAYA, 15 Oktober 2026 – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) telah melaksanakan Bengkel Penilaian Risiko Rasuah (Corruption Risk Assessment – CRA), Analisis Data dan Pelan Tindakan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP)/Organizational Anti-Corruption Strategy (OACS) pada 13 hingga 15 Oktober 2026.
Bengkel tersebut berlangsung di Dewan Putra Perdana 2, Aras 1, Hotel Pulse Grande, Putrajaya. Bengkel ini bertujuan menyemak inisiatif OACP sedia ada serta memberikan pemahaman yang lebih menyeluruh kepada pihak pengurusan dan Ahli Jawatankuasa Strategi Pembanterasan Rasuah KETENGAH berhubung pelaksanaan dan pemantauan Penilaian Risiko Rasuah (CRA). Pendekatan ini penting bagi memastikan penyediaan strategi antirasuah organisasi dilaksanakan secara lebih sistematik, terancang dan berkesan.
Selain itu, bengkel ini turut memberi penekanan kepada pengukuhan tadbir urus organisasi melalui pengurusan risiko yang berkesan, khususnya dalam mengenal pasti dan menangani potensi risiko yang boleh menjejaskan integriti, membuka ruang kepada ketirisan serta meningkatkan risiko berlakunya salah laku dan rasuah.
Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta telah didedahkan kepada kaedah mengenal pasti dan menilai risiko rasuah, di samping menentukan pelan tindakan yang bersesuaian berdasarkan risiko yang dibincangkan.
Perbincangan turut merangkumi penetapan pegawai atau pihak pelaksana, tempoh pelaksanaan serta penentuan kuadran risiko bagi membantu proses penilaian dan penyediaan tindakan mitigasi yang lebih teratur.
Bengkel ini telah dikendalikan oleh Encik Abdul Rahman bin Abdullah dan Cik Nur Atia Shahirah Mustapha, Konsultan dari Pusat Integriti Sektor Perniagaan dan Awam, Institut Integriti Malaysia (IIM).





