YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan telah mengadakan lawatan kerja ke Terengganu yang bertempat di Sekolah Kebangsaan Shukor dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Jengal, Dungun, Terengganu bagi meninjau keadaan semasa sekolah yang terkesan akibat bencana banjir yang berlaku pada setiap tahun.
Beliau berkata, pembaikan sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir akan dilaksanakan segera bagi memastikan sesi persekolahan akan datang tidak terganggu dan dapat diteruskan seperti biasa.
Pada masa yang sama, beliau juga turut berpeluang membuat tinjauan terhadap pelaksanaan Ujian Bertutur Bahasa Inggeris bagi pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Jengal.
Selain itu, beliau telah diberi taklimat mengenai bantuan pasca banjir yang dihulurkan kepada sekolah-sekolah yang terjejas dan sempat beramah mesra dengan sukarelawan Skuad Ihsan MADANI dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berperanan besar dalam membantu pemulihan selepas bencana.
Turut hadir sama dalam lawatan ini adalah YBrs. Dr. Mohd Azam bin Ahmad, Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia yang juga menjalankan tugas sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), YBrs. Tuan Haji Jelani bin Sulong, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu dan YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH.










