logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Sukan Piala Pengurus Besar KETENGAH Tahun 2024

Tahniah kepada Rumah Abdul Rahman Limbong (Biru) yang telah diumumkan sebagai pemenang tempat pertama dalam Kejohanan Sukan Piala Pengurus Besar KETENGAH Tahun 2024. Rumah Tok Ku Paloh (Putih) mendapat tempat kedua, Rumah Megat Panji Alam (Kuning) ketiga dan Rumah Tun Telanai (Merah) keempat. Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH.

Dalam ucapannya YM Dato’ berkata “Saya dengan sukacita ingin mengucapkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada Kelab Keluarga KETENGAH selaku urus setia dan barisan NGO’s KETENGAH iaitu MBJ, AKRAB, PUSPANITA, JKR KETENGAH dan Kelab ANGSANA KHSB yang bekerjasama untuk menganjurkan Kejohanan Sukan Piala Pengurus Besar KETENGAH bagi Tahun 2024. Program ini telah berlangsung dengan jayanya bermula pada Julai 2024 dan berakhir pada 11 Disember 2024”.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua pegawai dan kakitangan daripada KETENGAH, anak-anak syarikat, JKR KETENGAH dan semua yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam memberikan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bagi dalam menjayakan setiap program dan acara sukan yang telah dilaksanakan pada kali ini.

Kejohanan sukan ini dianjurkan bertujuan membudayakan amalan hidup sihat melalui aktiviti-aktiviti sukan dalam kalangan warga KETENGAH. Ianya bukan sahaja pungutan pingat yang dikejar, tetapi ikatan silaturrahim yang terjalin erat semasa aktiviti bersukan juga dapat dipupuk. Kejohanan ini merupakan satu platform untuk mencari, mengenalpasti dan menilai bakat baru dalam kalangan pegawai dan kakitangan untuk mewakili KETENGAH ke Kejohanan Sukan MAKSPEN di peringkat KKDW yang dijangka akan berlangsung pada Tahun 2025.

Pada majlis yang sama juga, diadakan upacara memotong pulut kuning sempena hari ulang tahun kelahiran YM Dato’ Pengurus Besar KETENGAH. Kami warga KETENGAH mendoakan agar dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki serta diberkati kehidupan YM Dato’ sekeluarga.
Tahniah kepada semua pemenang.