logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

PENYERAHAN JALUR GEMILANG SEMARAKKAN PATRIOTIK KOMUNITI AMBS

Bulan Ogos bukan sekadar simbol sejarah memperingati kemerdekaan negara, tetapi ia mengingatkan kita tentang pengorbanan generasi terdahulu yang berjuang untuk membebaskan tanah air kita bebas dari cengkaman penjajah. 

Sudah pasti tanggungjawab generasi pada hari ini adalah meneruskan warisan kemerdekaan itu dengan memperkukuhkan semangat muafakat, saling menghormati, mengutamakan perpaduan dan memelihara keamanan. Secara simboliknya Ogos menjadi bulan yang paling meriah dengan aktiviti berbentuk perpaduan untuk melahirkan keharmonian pelbagai kaum di negara ini.

Oleh itu, dalam usaha melahirkan manifestasi kecintaan kepada tanah air serta semangat perjuangan yang diwarisi daripada generasi terdahulu, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Selesa dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Terenggganu,  KETENGAH, Jabatan Penerangan Negeri Terengganu dan gabungan KRT Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) telah menganjurkan program Penyerahan Jalur Gemilang Madani kepada semua KRT di AMBS bertempat di Pusat Komuniti (PUSKOM) KRT Taman Selesa, Bandar AMBS pada 19 Ogos 2025.


Program yang diadakan bersempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Negara Ke-68 itu dirasmikan oleh YBhg. Encik Mohd Rosli Alias, Pengarah JPNIN Negeri Terengganu dihadiri kira-kira 100 orang ahli-ahli gabungan KRT dari sekitar Bandar AMBS. Turut hadir dalam program ini Encik Sait Yaman, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu; Encik Zainuddin Haji Mohd Zaki, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KETENGAH merangkap Pengerusi KRT Taman Selesa dan Tuan Haji Mohd Radzi Mohd Noor, Pengurus Hartanah dan Kuasa Tempatan.

Program berakhir dengan penyerahan Jalur Gemilang kepada semua Pengerusi KRT di sekitar Bandar AMBS dan sudah pasti dapat menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan komuniti setempat apabila bendera tersebut bakal berkibar megah di kediaman masing-masing sekaligus menceriakan lagi suasana sambutan bulan kemerdekaan negara.