logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-8 PUSPANITA CAWANGAN KECIL KETENGAH

Dungun, 15 Februari 2026 – PUSPANITA Cawangan Kecil KETENGAH telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-8 bertempat di Balai Orang Ramai (BALORA), Bandar Al Muktafi Billah Shah.

PUSPANITA Cawangan Kecil KETENGAH yang kini dipengerusikan oleh Yang Berbahagia To’ Puan Anizal binti Yusoff terus memainkan peranan signifikan dalam memperkukuh hubungan silaturahim antara kakitangan wanita dan para suri yang merupakan isteri kepada kakitangan lelaki KETENGAH. Pelaksanaan pelbagai program kebajikan, kemasyarakatan serta pembangunan ekonomi membuktikan komitmen berterusan dalam memperkasa peranan wanita dan memperluas jaringan sokongan sosial.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH merangkap Penasihat PUSPANITA Cawangan Kecil KETENGAH. Dalam ucapan perasmian, beliau menyeru agar PUSPANITA terus memperkukuh peranan serta meningkatkan penglibatan secara langsung dalam komuniti di seluruh wilayah KETENGAH.

Beliau turut menekankan kepentingan memperbanyakkan program berimpak tinggi yang melibatkan komuniti desa, khususnya dalam aspek kebajikan, kemasyarakatan dan pembangunan ekonomi bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat. Sebagai tanda sokongan terhadap usaha tersebut, beliau telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi pelaksanaan program PUSPANITA Cawangan Kecil KETENGAH dalam memperkasa peranan wanita serta memperluas impak kepada komuniti.

Mesyuarat kali ini turut melibatkan proses pemilihan jawatankuasa baharu bagi sesi akan datang. Tahniah diucapkan kepada barisan jawatankuasa yang telah terpilih. Diharapkan kepimpinan baharu ini dapat meneruskan kecemerlangan serta memperkukuh lagi sumbangan PUSPANITA dalam pembangunan sosial dan komuniti di wilayah KETENGAH.

PUSPANITA Cawangan Kecil KETENGAH turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada barisan jawatankuasa terdahulu atas komitmen, dedikasi dan usaha berterusan dalam mengurus serta menggerakkan persatuan ini dengan penuh tanggungjawab. Sumbangan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan amat dihargai dan menjadi asas kepada kesinambungan kecemerlangan PUSPANITA Cawangan Kecil KETENGAH.

Majlis turut diserikan dengan acara cabutan bertuah sebagai tanda penghargaan kepada ahli yang hadir, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga PUSPANITA.