logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

Pendigitalan Luar Bandar: Aspirasi KETENGAH ke Arah Smart Region

Perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi telah membawa perubahan besar dalam landskap pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan awam di Malaysia. Transformasi digital bukan lagi sekadar pilihan, sebaliknya menjadi satu keperluan strategik bagi memastikan kecekapan tadbir urus, ketelusan perkhidmatan dan keterangkuman sosial dapat dicapai secara menyeluruh. Dalam konteks ini, agensi pembangunan wilayah seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) tidak terkecuali daripada arus perubahan tersebut, malah tampil sebagai antara institusi yang proaktif dalam mengadaptasi agenda pengitalan bagi memperkasa masyarakat luar bandar.

Sebagai langkah strategik jangka sederhana dan panjang, KETENGAH telah melancarkan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) KETENGAH 2026–2030 yang dirangka secara holistik dan berpaksikan kepada Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB 2030) dan Pelan Perancangan Strategik KETENGAH 2025–2035. Pelan ini bukan sahaja menjadi panduan pelaksanaan inisiatif digital, malah mencerminkan komitmen KETENGAH untuk menyelaraskan pembangunan wilayah dengan aspirasi nasional ke arah ekonomi digital dan masyarakat berpengetahuan.

Fokus utama PSP KETENGAH adalah untuk mentransformasikan wilayah KETENGAH sebagai sebuah “Smart Region”, iaitu wilayah luar bandar yang memanfaatkan teknologi digital secara menyeluruh dalam aspek pengurusan, ekonomi, sosial dan perkhidmatan awam. Konsep Smart Region ini menekankan penggunaan teknologi sebagai pemudah cara untuk menghubungkan masyarakat desa dengan sistem maklumat yang cekap, pantas dan telus, sekali gus mengurangkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar. Melalui pendekatan ini, Pendigitalan bukan sahaja dilihat sebagai alat teknologi, tetapi sebagai pemangkin perubahan struktur sosial dan ekonomi masyarakat setempat.

Seiring dengan kemajuan era digital dan kemunculan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI), cara manusia berkomunikasi dan berinteraksi telah mengalami perubahan yang ketara. Teknologi ICT dan digital kini membolehkan maklumat disampaikan secara masa nyata, urusan pentadbiran dilaksanakan secara dalam talian, serta keputusan dibuat berdasarkan analisis data yang lebih tepat. Dalam sektor ekonomi misalnya, teknologi digital membuka peluang baharu kepada usahawan luar bandar untuk menembusi pasaran yang lebih luas melalui platform e-dagang dan pemasaran digital.

Bagi merealisasikan agenda Pendigitalan ini, penyediaan kemudahan asas yang mencukupi menjadi keutamaan utama KETENGAH. Infrastruktur digital seperti capaian internet berkelajuan tinggi, sistem rangkaian komunikasi yang stabil serta kemudahan sokongan teknologi merupakan prasyarat penting bagi memastikan pelaksanaan inisiatif digital dapat berjalan dengan berkesan. Tanpa infrastruktur yang kukuh, usaha pengitalan berisiko menjadi tidak inklusif dan gagal mencapai kumpulan sasaran, khususnya masyarakat luar bandar yang masih berhadapan dengan kekangan akses teknologi.

Selain aspek infrastruktur, pembangunan modal insan turut diberikan penekanan dalam pelaksanaan PSP KETENGAH. Literasi digital dalam kalangan masyarakat desa perlu diperkasakan agar mereka bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, tetapi mampu memanfaatkan teknologi tersebut secara produktif dan beretika. Latihan, bimbingan serta pendedahan berterusan kepada penggunaan aplikasi digital, sistem maklumat dan teknologi pintar adalah penting bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus Revolusi Industri 4.0.

Secara keseluruhannya, Pelan Strategik Pendigitalan KETENGAH 2026–2030 mencerminkan kesungguhan agensi ini dalam menerajui transformasi digital di wilayah luar bandar. Usaha ke arah pembentukan Smart Region bukan sahaja bertujuan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, malah berperanan memperkasa komuniti desa agar lebih berdaya saing, berpengetahuan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Majlis Menandatangani Dokumen Permulaan Projek PSP KETENGAH 2025-2030 telah berlangsung di Parkroyal A’famosa Resort Melaka, sempena Bengkel Bajet Rolling Plan Pertama (RP1) Tahun 2026 dan Rolling Plan Kedua (RP2) Tahun 2027 di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13). Dokumen Permulaan Projek (DPP) telah ditandatangani oleh YBrs. Tuan Haji Mahdi Amin bin Ahmad, Pengurus Kanan (Korporat) yang mewakili Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Puan Azizah binti Abd. Kadir, SUB Bahagian ICT yang mewakili Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), serta disaksikan oleh YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH. Hadir sama Puan Nor Hafidzah binti Md. Yusoff KPSU (ICT) KKDW dan Encik Hazroll Eizwal bin Jasni, Pengurus Pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi KETENGAH.

Pelan Pendigitalan Strategik KETENGAH 2026–2030 merupakan pelan strategik ICT ketiga selepas ISP KETENGAH 2016–2020 dan ISP KETENGAH 2021–2025. Pembangunan pelan ini dilaksanakan secara berfasa melalui sesi libat urus dan penilaian menyeluruh terhadap keperluan semasa, cabaran baharu serta aspirasi digital organisasi dalam tempoh RMKe–12, dengan sokongan dan panduan teknikal daripada agensi pusat berkaitan.