Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) telah melaksanakan Program Ziarah Kasih Madani Wilayah KETENGAH sempena Ihya’ Ramadan 1447H sebagai usaha menyantuni penduduk yang memerlukan khususnya pesakit terlantar dalam wilayah KETENGAH.
Melalui Tabung Amanah Masyarakat KETENGAH (TAMK), KETENGAH telah memperuntukkan sebanyak RM36,000.00 (Ringgit Malaysia: Tiga Puluh Enam Ribu Sahaja) bagi membantu serta meringankan beban penerima. Pada tahun ini, seramai 120 orang pesakit terlantar telah menerima sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM300.00 seorang serta barangan keperluan rumah.
YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH bersama YBhg. Dato’ Dr. Haji Din bin Adam, Pengerusi UMTJ Holding turut meluangkan masa menyampaikan sumbangan kepada 12 orang penerima di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun.
Selain itu, dua orang pesakit kronik yang memerlukan rawatan berkala turut menerima sumbangan khas sebanyak RM2,000.00 seorang bagi memudahkan urusan sepanjang tempoh rawatan.
KETENGAH berharap sumbangan yang disalurkan ini dapat membantu serta meringankan beban penerima di samping memupuk nilai keprihatinan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.









