logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

KARNIVAL KESIHATAN, KOMUNITI MADANI KESIHATAN SEJAHTERA AL MUKTAFI BILLAH SHAH, KESIHATAN REMAJA OBESITI

Isu obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja semakin membimbangkan dan memerlukan perhatian serius daripada semua pihak. Seiring dengan usaha memperkasa kesihatan komuniti, Panel Penasihat Klinik Kesihatan Al Muktafi Billah Shah (AMBS) bersama Pejabat Kesihatan Daerah Dungun dengan kerjasama KETENGAH dan Pejabat Pendidikan Daerah Dungun telah menganjurkan Karnival Kesihatan Komuniti Madani: Kesihatan Remaja Obesiti pada 9 Oktober 2025 bertempat di Pusat komuniti Desa, AMBS.

Karnival ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya golongan muda, terhadap kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat serta mencegah masalah obesiti sejak peringkat awal. Program ini melibatkan seramai 150 orang pelajar sekolah rendah dan menengah termasuk 20 orang pegawai dan kakitangan KETENGAH.

Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan termasuk senamrobik, ceramah kesihatan, dan pameran kesedaran kesihatan. Antara tarikan utama karnival ialah penyertaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Skuad Cobra) yang mempamerkan spesies ular berbisa dan kelengkapan keselamatan. Turut menyerikan majlis ialah persembahan dikir barat oleh murid-murid Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Mas.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Mulia Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH, dan turut dihadiri oleh Encik Zainuddin bin Haji Md. Zaki, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KETENGAH merangkap Pengerusi Panel Kesihatan Klinik AMBS.
Penganjuran program sebegini diharap dapat memperkukuh peranan pelbagai agensi dalam usaha menangani isu obesiti serta memperkasakan kesihatan remaja ke arah pembentukan generasi Madani yang sihat dan sejahtera.