KETENGAH melalui Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Sosial dan Bahagian Ekonomi dan Usahawan telah menjayakan pelaksanaan Bengkel Kesejahteraan Keluarga dan Komuniti KETENGAH (BERKAT 2.0) melibatkan Peserta Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) Kemaman Wilayah KETENGAH.
Seramai 28 orang peserta telah menyertai program ini bertempat di Hotel The Qamar, Paka, Dungun, Terengganu bermula dari 29 Mei 2025 (Khamis) hingga 31 Mei 2025 (Sabtu) yang dikendalikan oleh konsultan dilantik iaitu Al Fateh Training And Consultant.
Antara pengisian yang terangkum sepanjang bengkel ini berlangsung ialah, mengenali potensi diri, asas keusahawanan, online business, pengurusan diri & komunikasi dan aktiviti berkumpulan termasuk riadah ringan.
YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH telah menyempurnakan majlis perasmian penutup dan menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta.
Semasa berucap YM Dato’ Pengurus Besar berkata “Bengkel ini dirangka bukan sekadar untuk memberi pengetahuan asas keusahawanan, tetapi turut memberi fokus kepada pembinaan jati diri, nilai kekeluargaan, dan peningkatan keyakinan diri.
Kita tidak sekadar mahu melahirkan usahawan kecil-kecilan, tetapi kita mahu melahirkan komuniti berdikari, inovatif dan tahu hala tuju kehidupan”.
Beliau turut berbangga dengan kehadiran peserta dari pelbagai lapisan umur bermula dari 18 sehingga 78 tahun. YM Dato’ mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua peserta dan urusetia yang telah berjaya menganjurkan program ini.
Awang Besar @ Bakar bin Muda @ Salleh yang berasal dari Kampung Teladas merupakan peserta yang paling berumur iaitu 78 tahun. Beliau sekarang sedang mengusahakan tanaman Kelapa Tacunan seluas 2 ekar. Beliau berkata “Banyak benda baru yang saya dapat dari bengkel ini terutamanya dari aspek pengurusan diri dan pengurusan kewangan”.
Hadir bersama dalam majlis ini YBrs. Encik Faizol bin Abd Aziz, Pengurus Pembangunan Masyarakat dan Sosial dan YBrs. Encik Mohd Faiq bin Mohd Abd Majid, Pengurus Ekonomi dan Usahawan serta YBrs. Tuan Haji Ahmad Najib bin Ibrahim, Pengarah Urusan Al Fateh Training And Consultant.
Semoga program ini dapat meningkatkan pengetahuan, pengalaman dan nilai tambah yang dapat membantu peserta mengubah corak kehidupan serta meningkatkan lagi ekonomi dan keterjaminan makanan (food security) dalam wilayah.