KEMENTERIAN KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH (KKDW) PERKASA PELANCONGAN KOMUNITI MELALUI PENYERAHAN BOT PERSIARAN SUNGAI KHALIFAH 1 DAN KHALIFAH 2

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) terus memperkukuh pembangunan ekonomi luar bandar menerusi penyerahan rasmi dan perasmian dua buah bot persiaran sungai, KHALIFAH 1 dan KHALIFAH 2, kepada Koperasi Warisan Seberang Takir Terengganu Berhad (KOWARIS).
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Dr. Roslan bin Mahmood, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), KKDW. Projek Terengganu Drawbridge River Cruise yang dilaksanakan di bawah Program Desa Lestari, KKDW ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1 juta dengan KETENGAH bertindak sebagai Agensi Pelaksana dan Pembayar. Kedua-dua bot persiaran jenis Fibre Reinforced Plastic (FRP) berukuran 45 kaki x 10 kaki ini dilengkapi kabin berhawa dingin serta enjin sangkut berkembar berkuasa 250 kuasa kuda setiap satu bagi meningkatkan keupayaan perkhidmatan pelancongan sungai di Seberang Takir.
Inisiatif ini dijangka menjadi tarikan baharu pelancongan setempat, selain membuka peluang penjanaan pendapatan dan pekerjaan kepada komuniti, khususnya 64 orang anggota KOWARIS yang majoritinya terdiri daripada golongan nelayan berpendapatan rendah. KETENGAH berharap kemudahan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya melalui pengurusan koperasi yang cekap dan sistematik bagi memastikan kelestarian projek serta manfaat ekonomi berterusan kepada masyarakat setempat.
Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan KETENGAH dalam memperkasa ekonomi komuniti dan menyokong pembangunan luar bandar yang inklusif serta mampan.





