MAJLIS PENYERAHAN SIJIL SIAP KERJA (CPC) PROJEK MEMBINA DAN MENYIAPKAN TAMAN MINI AWAM DI GAWI POINT, PENGKALAN GAWI, TASIK KENYIR

TASIK KENYIR, 30 Oktober 2026 – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) terus memperkukuh komitmennya dalam memajukan sektor pelancongan di Tasik Kenyir menerusi kejayaan menyiapkan Projek Membina dan Menyiapkan Taman Mini Awam di Gawi Point, Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir yang melibatkan peruntukan sebanyak RM2.6 juta. Majlis Penyerahan Sijil Perakuan Siap Kerja (Certificate of Practical Completion (CPC)) telah disempunarnakan oleh YM. Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH kepada Encik Muhammad Aminuddin bin Muda dari AHM Resources yang disaksikan oleh YBhg. Dato’ Rozi bin Mamat, Pengerusi KETENGAH. Majlis ini diadakan sebagai pengiktirafan terhadap penyempurnaan kerja-kerja projek oleh kontraktor yang berjaya disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan pada 15 September 2026.
Projek pembangunan ini merangkumi beberapa komponen utama antaranya:
• Menaik taraf sebuah galeri pelancongan sebagai ruang informasi dan tarikan baharu kepada pengunjung;
• Membina Taman Mini Awam meliputi kerja-kerja landskap bagi mewujudkan persekitaran rekreasi yang lebih menarik dan selesa;
• Membina dua (2) unit mercu tanda sebagai elemen identiti dan tarikan pelancongan
• Membina pelantar atau menara pelaziman persinggahan burung sebagai komponen yang menyokong aktiviti pemerhatian burung dan penghayatan biodiversiti Tasik Kenyir.
Penyempurnaan projek ini dijangka memberikan nilai tambah yang signifikan kepada pembangunan pelancongan Kenyir Geopark khususnya melalui penyediaan kemudahan rekreasi yang lebih berkualiti, peningkatan aspek keselamatan, keselesaan pengunjung dan kepelbagaian produk pelancongan yang mampu menarik minat pelancong domestik dan antarabangsa.
Selain meningkatkan pengalaman pengunjung, pembangunan ini turut berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi setempat melalui pertambahan aktiviti pelancongan sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pengusaha pelancongan dan komuniti tempatan untuk mengambil bahagian dalam rantaian ekonomi pelancongan di Tasik Kenyir.
Kejayaan menyiapkan projek mengikut tempoh yang ditetapkan turut mencerminkan komitmen KETENGAH terhadap aspek kecekapan pengurusan dan pelaksanaan projek, pematuhan standard kualiti serta pengurusan pembangunan infrastruktur pelancongan yang terancang dan berkesan.
KETENGAH akan terus komited dalam memperkasa pembangunan Kenyir Geopark sebagai destinasi ekopelancongan unggul dengan memberi penekanan kepada keseimbangan antara pembangunan infrastruktur, kesejahteraan komuniti setempat dan pemeliharaan khazanah alam semula jadi dan biodiversiti demi memastikan kelestarian industri pelancongan berterusan untuk generasi akan datang.





