Bukit Besi merupakan nadi pertumbuhan ekonomi yang penting dalam negara khususnya di Terengganu sekitar abad ke-20 dahulu apabila sebuah syarikat dari Jepun, Kuhara Mining Limited memulakan aktiviti perlombongan bijih besi secara besar-besaran sebelum diteruskan oleh syarikat British.
Aktiviti perlombongan di Bukit Besi bukan sahaja memaparkan memori peninggalan penjajah dalam sosioekonomi penduduk tempatan, tetapi juga bukti wujudnya perkampungan antarabangsa di negara ini ketika era kegemilangannya apabila didiami oleh warga Jepun, British, Amerika, Kanada, Australia, Belanda, Jerman, Afrika Selatan, India dan China.
Dalam usaha untuk mencungkil sejarah gemilang tersebut, seramai 6 penyelidik dari Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) diketuai oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Wan Mohd Yusof Wan Chik yang berjaya memperolehi Geran Penyelidikan Antarabangsa dari The Sumitomo Foundation, Jepun telah membuat kajian berkaitan sejarah perlombongan bijih besi terutamanya ketika diusahakan oleh syarikat perlombongan dari Jepun.
Penyelidikan yang dijalankan selama dua tahun itu turut dibantu oleh Mr. Kazuki Iseno, seorang pensyarah dari UniSZA yang berasal dari Jepun. Hasil kajian tersebut akan dicetak dalam buku mewah (coffee table book) bertajuk “Bukit Besi Tracing The Heritopolis of Asia”.
Justeru itu, kumpulan penyelidik ini telah membentangkan hasil kajian yang berjaya disiapkan kepada pihak pengurusan KETENGAH pada 9 Februari 2025. Turut hadir dalam sesi pembentangan tersebut ialah YM. Dato’ Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH.
Seandainya buku mewah tersebut berjaya diterbitkan, akan menambahkan lagi bahan penerbitan yang amat bermakna kerana memaparkan rakaman warisan sejarah sebuah tamadun gemilang yang pernah berlaku di negara kita suatu masa dahulu. Pastinya buku ini juga akan menjadi rujukan pelbagai pihak sama ada pengkaji sejarah, penuntut, pelbagai agensi dan juga orang ramai.