Program KETENGAH Kenyir Geopark Nature Run 2026

TASIK KENYIR, HULU TERENGGANU, 30 OKTOBER 2026 - Meriah dan penuh semangat! Program KETENGAH Kenyir Geopark Nature Run 2026 anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dengan kerjasama Kelab Kebajikan dan Komuniti Telemong (Telemong Care) telah berlangsung dengan jayanya, menghimpunkan seramai 731 orang peserta dengan kehadiran keseluruhan kira-kira lebih 1,000 orang yang terdiri daripada peserta, jemputan dan pengunjung.
Majlis pelepasan peserta telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Rozi bin Mamat, Pengerusi KETENGAH bersama-sama YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH diiringi barisan tetamu jemputan dan Pengurusan KETENGAH.
Program ini merupakan larian santai berlatarbelakangkan keindahan alam semula jadi Kenyir Geopark dengan menyemarakkan semangat kesukanan dan menggalakkan amalan gaya hidup sihat. Program ini turut diserikan dengan cabutan penghargaan utama berupa sebuah kereta dan lain-lain hadiah menarik sebagai tanda terima kasih kepada semua peserta yang telah memberikan sokongan dan memeriahkan acara ini. Adik Nur Ain Amirah binti Mohd dari Perumahan Padang Setenge, Kuala Berang , dengan no 15049 telah berjaya membawa pulang hadiah sebuah kereta .
Penganjuran program ini juga merupakan salah satu usaha KETENGAH mempromosikan keindahan biodiversiti dan keunikan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua peserta, jemputan, rakan kerjasama, petugas serta seluruh pihak yang telah bersama-sama menjayakan program ini. Tahniah dan terima kasih kepada semua! Semoga kita bertemu lagi dalam edisi yang akan datang!





