Program Kesihatan Komuniti Madani Sihat Sejahtera anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Selesa dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Panel Penasihat Kesihatan Klinik AMBS dan gabungan KRT Bandar AMBS telah berlangsung pada 13 September 2025 di Pusat Komuniti Desa, Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun.
Pelaksanaan inisiatif menerusi gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan merupakan satu usaha transformasi ke arah pemerkasaan serta peluasan penglibatan masyarakat dalam meningkatkan mutu kesihatan rakyat.
Program ini telah dirasmikan oleh Encik Zainuddin bin Haji Md. Zaki, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KETENGAH. Dalam ucapannya, beliau menyifatkan program ini sebagai wadah menyemarakkan semangat cintakan negara sambil memupuk gaya hidup sihat dan kelestarian.
Program berkonsepkan patriotik sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Negara Ke-68 dan Hari Malaysia berjaya menarik ratusan penduduk tanpa mengira usia yang bukan sahaja turun menyertai aktiviti yang diadakan tetapi turut mengambil peluang memeriksa kesihatan masing-masing di kaunter pemeriksaan kesihatan yang disediakan oleh Klinik Kesihatan AMBS. Di samping itu mereka yang hadir turut mengunjungi kaunter MyDigital ID yang disediakan sempena program ini. MyDigital ID adalah inisiatif kerajaan bagi membantu menyelesaian identiti digital yang selamat dan dipercayai bertujuan memudahkan pelbagai urusan rakyat dengan menyediakan akses kepada perkhidmatan dalam talian untuk pelbagai aplikasi serta proses pendaftaran yang selamat dan tanpa dokumen.
Acara program itu dimulakan dengan senamrobik bermatlamat untuk mencegah sebarang penyakit dan menggalakkan kecergasan fizikal. Suasana bertambah meriah apabila peserta dilepaskan untuk acara “Brisk Walk 5000 Langkah” diadakan secara santai di sekitar Pusat Bandar AMBS sambil mengibarkan Jalur Gemilang di tangan masing-masing.
Secara keseluruhannya, penganjuran ini berjaya menggabungkan aspek kebersamaan menerusi kesedaran kesihatan melalui beberapa pengisian aktiviti yang diatur. Usaha ini diharap dapat terus mengukuhkan perpaduan dan solidariti masyarakat dalam menyokong usaha kerajaan membudayakan kempen hidup sihat dan menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti sihat di masa hadapan.