LAWATAN KERJA YAYASAN DIRAJA SULTAN MIZAN (YDSM) KE PROJEK RUMPUT NAPIER

DUNGUN, 2 NOVEMBER 2026 – Lembah Makanan KETENGAH hari ini menerima kunjungan delegasi daripada Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) bagi meninjau perkembangan dan pelaksanaan Projek Tanaman Rumput Napier yang diusahakan di kawasan berkenaan.
Projek sosioekonomi yang melibatkan kawasan seluas 15 ekar ini merupakan inisiatif kerjasama strategik antara KETENGAH dan YDSM dengan tajaan daripada Westar Aviation Services. Dalam pelaksanaan projek ini, KETENGAH diberikan tanggungjawab sepenuhnya untuk memantau serta menyelaras pengurusan projek yang kini melibatkan penyertaan seramai lima orang usahawan tempatan.
Projek ini bukan sahaja berpotensi menjana sumber pendapatan kepada usahawan yang terlibat, malah turut menyumbang kepada pembangunan rantaian bekalan makanan ternakan di Wilayah KETENGAH. Hasil tuaian rumput Napier akan dibekalkan secara berterusan bagi memenuhi keperluan makanan gajah di Kenyir Elephant Cultural Village (KECV), Hulu Terengganu, selain memenuhi permintaan pasaran setempat.
Lawatan kerja tersebut telah dihadiri oleh YBhg. Dato' Haji Azizulrahim bin Ahmad Zambri, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM dan YBrs. Kapten Rohaizad bin Hussain, Base Manager Westar Aviation Services Kertih. Ketibaan delegasi telah disambut oleh Tuan Haji Mohd Radzi bin Md Noor, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KETENGAH, bersama barisan pengurusan, pegawai serta para peserta projek. Diharapkan kerjasama strategik antara KETENGAH dan YDSM ini akan terus diperkukuh bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi, meningkatkan pendapatan usahawan tempatan serta merancakkan pembangunan sosioekonomi komuniti di Wilayah KETENGAH.





