LAWATAN SAMBIL BELAJAR SEKOLAH RENDAH ISLAM DARUL ABRAR (SRIDA) SETIU, TERENGGANU.

Muzium Bukit Besi hari ini telah menerima kunjungan Lawatan Sambil Belajar daripada Sekolah Rendah Islam Darul Abrar (SRIDA) Setiu, Terengganu yang melibatkan seramai 45 orang peserta, terdiri daripada 35 orang pelajar dan 10 orang guru pengiring yang telah diketuai oleh Puan Siti Aisyah Bt. Yussof Guru Penolong Kanan, Sekolah Rendah Islam Darul Abrar (SRIDA) Setiu, Terengganu.
Lawatan ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada para pelajar mengenai sejarah, warisan serta perkembangan aktiviti perlombongan bijih besi di Bukit Besi. Sepanjang kunjungan, para pelajar berpeluang melihat bahan pameran dan koleksi sejarah yang dipamerkan di muzium serta mendengar penerangan berkaitan sejarah perlombongan bijih besi yang pernah menjadi antara aktiviti penting dalam perkembangan kawasan Bukit Besi.
Secara keseluruhanya, lawatan sebegini bukan sahaja dapat memperkukuhkan pembelajaran berasaskan sejarah dan warisan, malah menyokong usaha Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dalam memelihara, mempromosi dan mengangkat nilai sejarah Bukit Besi sebagai khazanah warisan yang bernilai untuk terus dihayati, dihargai dan diwarisi oleh generasi masa kini serta akan datang. Diharapkan kunjungan ini dapat memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada para pelajar, di samping memupuk minat dan kesedaran sejak usia awal terhadap kepentingan memelihara, menghargai dan melestarikan sejarah serta warisan negeri Terengganu.





