logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

PERSARAAN WAJIB DAN PILIHAN PEGAWAI DAN KAKITANGAN KETENGAH

30 Oktober 2025 (Khamis) merupakan hari bekerja terakhir bagi Tuan Haji Ahmad Fakaruddin bin Ahmad, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Gred N14, yang akan bersara wajib pada 31 Oktober 2025 setelah menabur bakti selama 27 tahun 9 bulan 30 hari di KETENGAH.

Turut diraikan ialah Puan Samihat binti Yunus, Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N2, Bahagian Kewangan dan Perakaunan, yang akan bersara pilihan pada 1 November 2025 setelah berkhidmat selama 29 tahun 11 bulan 15 hari.

Pihak Pengurusan KETENGAH merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas segala jasa, sumbangan, dan komitmen yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. Segala usaha gigih, dedikasi, serta kesetiaan yang ditunjukkan oleh kedua-dua warga ini seharusnya dicontohi oleh seluruh warga kerja KETENGAH.

Persaraan ini menandakan tamatnya satu perjalanan penuh bakti dan bermulanya fasa kehidupan baharu yang lebih santai dan bermakna. Sesungguhnya, khidmat yang telah ditaburkan akan terus dikenang dan menjadi sebahagian daripada sejarah serta kejayaan organisasi ini.

Pihak Pengurusan KETENGAH mendoakan semoga Tuan Haji Ahmad Fakaruddin dan Puan Samihat dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, kesejahteraan hidup, serta kebahagiaan bersama keluarga tercinta. Semoga setiap langkah selepas persaraan ini dipenuhi dengan kegembiraan, ketenangan dan keberkatan daripada Allah SWT.

Majlis penghargaan yang diadakan menjadi lebih bermakna apabila YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, turut hadir menyaksikan Face ID terakhir kedua-dua pegawai berkenaan bertempat di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, bersempena dengan Festival Kenyir Geopark 2025.

Turut hadir menyerikan majlis ialah YBhg. Dato’ Abdul Kahar bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW); YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH; serta barisan pengurusan kanan KETENGAH.

Pihak KETENGAH mengucapkan selamat bersara dan sekalung tahniah atas kejayaan menamatkan perkhidmatan dengan penuh dedikasi dan integriti. Semoga kenangan manis sepanjang tempoh perkhidmatan akan terus terpahat dalam ingatan seluruh warga KETENGAH.