Prihatin terhadap nasib penduduk yang ditimpa musibah, Yayasan KETENGAH hari ini telah menyalurkan sumbangan kepada seorang mangsa kebakaran rumah di Kampung Minda, Dungun.
Mangsa, Encik Md. Nasir bin Abdullah, kehilangan kediamannya dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada 21 Ogos 2025. Bagi meringankan beban beliau sekeluarga, Yayasan KETENGAH telah menyumbangkan bantuan kewangan sebanyak RM2,000.00. Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Dungun dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut menyumbang barangan keperluan harian kepada mangsa.
Penyampaian sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH. Hadir sama Tuan Haji Ahmad Fakaruddin bin Ahmad, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KETENGAH, Encik Mohd Ariffin bin Abu Bakar dari JKM Daerah Dungun dan Kapten (APM) Ahmad Kamal Hakim bin Ngah.
KETENGAH menzahirkan rasa simpati atas musibah yang menimpa mangsa dan KETENGAH akan sentiasa memastikan kebajikan penduduk di wilayah ini terus terbela. Usaha ini juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial Yayasan KETENGAH dalam mendekati masyarakat, selaras dengan matlamat untuk meningkatkan kesejahteraan penduduk di wilayah pembangunan KETENGAH.
Penerima sumbangan, Encik Md. Nasir bin Abdullah, turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas keprihatinan Yayasan KETENGAH yang tampil membantu pada saat beliau sekeluarga diuji.
Program sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai bukti keprihatinan KETENGAH terhadap penduduk di wilayah pentadbirannya, khususnya apabila mereka berdepan dengan ujian dan cabaran hidup.
















