Besut, 5 April 2026 – Koperasi Sahabat Gunung Tebu Terengganu Berhad merupakan penerima geran di bawah Program Desa Lestari, iaitu salah satu inisiatif oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam memperkasakan komuniti luar bandar melalui pendekatan koperasi.
Koperasi berkenaan telah menerima geran berjumlah RM500,000, yang digunakan untuk membiayai pelbagai komponen projek, termasuk pembelian sebuah van penumpang, 16 unit All-Terrain Vehicle (ATV), peralatan dan kelengkapan perkhemahan, serta kos operasi dan pentadbiran.
Sesi lawatan pemantauan ini telah diketuai oleh Tuan Haji Md Razi bin Lazim, Pengarah Pejabat KKDW Negeri Terengganu, manakala KETENGAH diwakili oleh Encik Jafre bin Taib, Pengurus Pembangunan Masyarakat dan Sosial. Turut hadir ialah Puan Siti Masturah binti Ab Majid, pegawai Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Terengganu Utara. Taklimat pelaksanaan projek pula telah disampaikan oleh Dr. Mohd Parid bin Mamat, Ahli Lembaga Koperasi.
Semua pegawai yang hadir turut diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman mengendalikan ATV melalui laluan mencabar yang merupakan sebahagian daripada pakej rekreasi dan ekopelancongan yang ditawarkan oleh Koperasi Sahabat Gunung Tebu Terengganu Berhad kepada para pengunjung.
Dalam ucapannya, Tuan Haji Md Razi bin Lazim menyatakan keyakinan bahawa koperasi ini berpotensi untuk mencipta kejayaan jangka panjang, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat.
Tahniah diucapkan kepada Koperasi Sahabat Gunung Tebu Terengganu Berhad atas usaha dan komitmen dalam menjayakan projek ini.








