Program Kembara Merdeka Komuniti Madani Wilayah KETENGAH berlangsung meriah sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2025. Penganjuran ini selari dengan tema tahun ini, “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni”, yang menekankan nilai kesepaduan, kekuatan bersama dan semangat cintakan tanah air.
Konvoi bermotosikal bermula di Bandar Ceneh Baharu, Kemaman dan berakhir di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. Sepanjang perjalanan, peserta singgah di empat lokasi iaitu Masjid Kampung Padang Kubu, Bandar Al Muktafi Billah Shah, Masjid Kampung Pela dan Surau Kampung Basung untuk menunaikan solat Zohor.
Setiap persinggahan menyaksikan penyerahan simbolik Jalur Gemilang kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat setempat.
Di Bandar Al Muktafi Billah Shah, pelbagai aktiviti turut dianjurkan termasuk penukaran minyak pelincir motosikal secara percuma, acara sukaneka serta pertandingan motosikal paling perlahan yang mendapat sambutan hangat daripada golongan belia.
Program ini menjadi platform terbaik dalam memupuk kecintaan terhadap negara khususnya dalam kalangan anak muda dan komuniti desa di Wilayah KETENGAH disamping mengukuhkan hubungan kebersamaan antara masyarakat desa dengan KETENGAH.
Majlis penutup disempurnakan oleh Yang Mulia Tengku Haphiz bin Tengku Putera, Pengerusi Penyelaras TVET Zon Pantai Timur. Hadir sama, Tuan Haji Ahmad Fakaruddin bin Ahmad, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KETENGAH.
Tahniah kepada Encik Ismail bin Zakaria dari Bandar Ceneh Baharu, Kemaman yang memenangi hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah topi keledar berjenama terkenal.
Kejayaan penganjuran ini turut mendapat kerjasama erat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta pemimpin setempat.