logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

Program Transformasi Minda dan Induksi Khas Tahun 2025 Kepada Pegawai dan Kakitangan Baharu KETENGAH

Program Transformasi Minda (PTM) merupakan satu program induksi yang diwajibkan kepada semua pegawai dan kakitangan lantikan baharu dalam perkhidmatan awam. Ianya menggantikan Kursus Induksi Modul Umum yang terdahulu, dan bertujuan membentuk pegawai yang bukan sahaja cekap dari segi tugas, tetapi juga mempunyai nilai integriti, semangat patriotisme dan kefahaman terhadap tanggungjawab sebagai penjawat awam.

PTM memberi penekanan kepada pemantapan pemikiran, pembentukan jati diri, dan penghayatan terhadap prinsip-prinsip asas perkhidmatan awam seperti Rukun Negara, gagasan Malaysia MADANI, dan nilai-nilai murni dalam tadbir urus kerajaan. Melalui program ini, pegawai lantikan baharu akan lebih memahami struktur pentadbiran kerajaan, peraturan-peraturan perkhidmatan awam, dan budaya kerja yang cemerlang.

Antara objektif utama PTM adalah untuk meningkatkan kesedaran pegawai baharu tentang tanggungjawab dan peranan mereka dalam sistem penyampaian kerajaan, memupuk semangat kerja berpasukan, kepimpinan dan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam, menyediakan asas yang kukuh dalam membentuk etika kerja yang profesional dan berorientasikan rakyat.

Program ini juga menyediakan ruang untuk interaksi, perbincangan dan perkongsian pengalaman antara peserta, sekali gus menggalakkan pembinaan rangkaian profesional yang sihat di peringkat awal perkhidmatan.

Sebagai penjawat awam baharu, penyertaan dalam PTM adalah peluang penting untuk menyesuaikan diri dengan budaya kerja sektor awam serta menanam komitmen terhadap amanah yang dipikul. Transformasi minda bukan sahaja membawa perubahan dalam cara berfikir, tetapi juga dalam tindakan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Oleh itu, Kursus Transformasi Minda dan Induksi Khas Tahun 2025 kepada Pegawai dan Kakitangan Baharu KETENGAH yang melibatkan seramai 61 orang telah diadakan pada 26 hingga 30 Mei 2025 bertempat di Kem Permata Resort, Alor Gajah Melaka.

Pelbagai pengisian program telah dilaksanakan dan Ahli Jawatankuasa AKRAB KETENGAH turut turun padang pada hari keempat bagi slot sesi bersama-sama pegawai dan kakitangan baharu.
Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa. Turut hadir YBrs. Encik Hasri bin Omar, Pengurus Pentadbiran dan Pengurusan Sumber Manusia. 

Program ini telah dilaksanakan oleh Bahagian Pentadbiran dan Pengurusan Sumber Manusia KETENGAH dengan kerjasama pihak Institut Pengurusan dan Integriti Melaka (INSPIM) dan juga tenaga pengajar daripada Kem Permata Resort, Melaka.

Syabas dan selamat maju jaya buat semua pegawai dan kakitangan baharu KETENGAH dan semoga dapat menjalani perjalanan kerjaya ini dengan penuh semangat, dedikasi, dan penuh dengan integriti serta dapat mewujudkan perkhidmatan awam yang lebih cemerlang.