KETENGAH HARGAI KOMITMEN KONTINJEN PERARAKAN DAN PERBARISAN MERDEKA 2026

KETENGAH menghargai kesepaduan, komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh kontinjen perarakan dan perbarisan KETENGAH sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 menerusi penganjuran Majlis Makan Malam Pengurusan KETENGAH Bersama Kontinjen Perarakan dan Perbarisan KETENGAH Tahun 2026 yang berlangsung di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu.
Kontinjen KETENGAH yang menyertai perarakan dan perbarisan tahun ini dianggotai oleh 41 orang pegawai dan kakitangan, terdiri daripada warga kerja lama serta lantikan baharu. Penyertaan ini mencerminkan semangat kerjasama dan kekitaan warga KETENGAH dalam membawa nama serta imej organisasi di peringkat negeri.
Dalam ucapannya, Pengurus Besar KETENGAH, YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, merakamkan penghargaan kepada seluruh peserta atas komitmen yang diberikan sejak sesi latihan bermula pada 27 Julai 2026.
Penganjuran majlis ini turut menjadi penghargaan atas kesungguhan para peserta yang telah meluangkan masa, tenaga dan komitmen sepanjang tempoh latihan sehingga menjayakan penyertaan KETENGAH dalam sambutan berkenaan.
Selaras dengan tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, penyertaan KETENGAH dalam perarakan dan perbarisan bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme, malah menjadi wadah untuk memperlihatkan semangat perpaduan, kebersamaan dan jiwa merdeka dalam kalangan warga kerja.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengurus Kanan (Korporat), Encik Hasri bin Omar, serta Pengurus-pengurus Bahagian dan Ketua-ketua Unit KETENGAH.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh kontinjen KETENGAH atas komitmen, disiplin dan semangat berpasukan yang telah ditunjukkan. Semangat ini diharapkan terus menjadi pemangkin kepada kecemerlangan warga KETENGAH dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab demi pembangunan serta kesejahteraan masyarakat.





