LAWATAN PENANDA ARAS BAHAGIAN PEMBANGUNAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (BPTMK) KETENGAH KE MAJLIS BANDARAYA ISKANDAR PUTERI (MBIP) JOHOR DARUL TA’ZIM

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) melalui Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BPTMK) telah mengadakan lawatan penanda aras ke Majlis Bandaraya Iskandar Puteri pada 19 Mei 2026 bagi mendapatkan pendedahan dan perkongsian berkaitan pelaksanaan inisiatif bandar pintar serta pengurusan teknologi maklumat yang dilaksanakan oleh MBIP.
Delegasi KETENGAH telah disambut mesra oleh pihak MBIP yang diketuai oleh Hj Nor Rahman bin Mustaffa Pengarah Bandar Pintar Iskandar Puteri bersama pegawai-pegawai MBIP. Delegasi KETENGAH pula diketuai oleh Encik Hazroll Eizwall bin Jasni Pengurus Pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Turut menyertai lawatan tersebut ialah wakil daripada Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) iaitu YBhg. Datin Siti Azni binti Zakaria Pengurus Teknologi Maklumat.
Sepanjang lawatan berlangsung, pihak MBIP telah berkongsi pelbagai maklumat dan pengalaman berkaitan pembangunan bandar pintar, penggunaan teknologi digital dan pengoperasian pusat kawalan pintar serta pelaksanaan sistem digital yang menyokong kecekapan pentadbiran dan kesejahteraan masyarakat.
Selain sesi taklimat dan perkongsian, delegasi turut diberikan penerangan terperinci mengenai aplikasi dan sistem pintar yang digunapakai oleh MBIP dalam mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan, pemantauan operasi bandar serta pengurusan data yang lebih cekap, sistematik dan bersepadu.
Lawatan penanda aras ini diharap dapat membuka ruang kerjasama strategik dan perkongsian amalan terbaik antara agensi, sekali gus memberikan nilai tambah kepada KETENGAH dalam memperkukuhkan pelaksanaan pendigitalan organisasi ke arah penyampaian perkhidmatan awam yang lebih moden, responsif dan berkesan. KETENGAH merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak MBIP atas kesudian menerima kunjungan delegasi KETENGAH serta berkongsi pengalaman, kepakaran dan maklumat sepanjang sesi lawatan penanda aras ini berlangsung.





