3 Mac 2026, Al Muktafi Billah Shah– Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) telah menganjurkan Majlis Penyampaian Sumbangan Ihyā’ Ramadan 2026 dalam suasana penuh tertib, harmoni dan penghayatan bersempena bulan Ramadan Al-Mubarak.
Majlis dimulakan pada jam 4.45 petang dengan sesi pendaftaran penerima sumbangan, diikuti ketibaan barisan Pengurusan KETENGAH. Turut hadir menyerikan majlis ialah Pengurus Besar KETENGAH, YM. Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, serta Pengerusi KETENGAH, YBhg. Dato’ Rozi bin Mamat.
Atur cara diteruskan dengan bacaan ayat suci Al-Quran dan doa sebagai pembuka majlis bagi memohon keberkatan serta kelancaran program.
Dalam ucapan aluan, YM. Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Beliau menegaskan bahawa penganjuran majlis ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan KETENGAH dalam memperkukuh agenda kebajikan dan menyantuni masyarakat di Wilayah KETENGAH.
Majlis seterusnya disempurnakan dengan ucapan perasmian oleh YBhg. Dato’ Rozi bin Mamat yang menekankan kepentingan semangat kebersamaan dan keprihatinan sosial, khususnya dalam menyemarakkan penghayatan Ramadan melalui inisiatif kebajikan yang berimpak tinggi.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak termasuk anak-anak syarikat KETENGAH yang bersama-sama menyumbang demi manfaat masyarakat Wilayah KETENGAH. Menurut beliau lagi, kerjasama erat dan semangat kebersamaan yang dizahirkan mampu memperkasa komuniti serta meringankan beban golongan yang memerlukan.
Bagi tahun 2026, sejumlah RM918,400.00 telah diperuntukkan di bawah Program Ikatan Kasih MADANI Wilayah KETENGAH sebagai manifestasi komitmen berterusan terhadap kesejahteraan rakyat.
Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian sumbangan meliputi Gimik Sumbangan Ihyā’ Ramadan kepada pihak pengimarahan surau, Sumbangan Ihsanul Qura’, serta Gimik Sumbangan Tabung Amanah Masyarakat KETENGAH (TAMK) Tahun 2026.
Majlis diakhiri dengan sesi berbuka puasa bersama barisan kepimpinan, warga kerja serta komuniti setempat.
Program ini jelas mencerminkan iltizam KETENGAH dalam melaksanakan tanggungjawab sosial secara konsisten demi kesejahteraan masyarakat di Wilayah KETENGAH.

















