logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

PERHIMPUNAN BULANAN KETENGAH KALI KE-5: MEMPERKUKUH SEMANGAT KERJA BERPASUKAN DAN INTEGRITI

Majlis Perhimpunan Bulanan KETENGAH Kali Ke-5 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Utama, Ibu Pejabat KETENGAH, Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu. Program dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu KETENGAH Bersama Membangun, diikuti dengan bacaan doa. Majlis diteruskan dengan tayangan video yang memaparkan pelbagai program dan aktiviti sepanjang bulan Ogos hingga November 2025.

Majlis Perhimpunan ini bukan sahaja menjadi platform untuk mendengar amanat, tetapi juga untuk menilai pencapaian, memperkukuh tekad, dan menyemarakkan semangat untuk terus berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab dalam usaha mencapai kecemerlangan organisasi.

Pengurus Besar KETENGAH, YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, dalam ucapannya berkata, “Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh warga kerja KETENGAH atas komitmen, dedikasi, dan semangat berpasukan yang telah ditunjukkan dalam setiap penyertaan dan penganjuran program. Berkat kerjasama serta kesepakatan bersama, segala amanah dapat kita sempurnakan dengan baik.”

Beliau turut mengingatkan bahawa setiap pegawai dan kakitangan KETENGAH perlu sentiasa menjaga imej organisasi kerana mereka membawa nama KETENGAH. Oleh itu, pematuhan terhadap etika pemakaian dan penampilan hendaklah dijaga dengan penuh kesedaran.

Tambah beliau, “Saya ingin mengingatkan kepada semua warga KETENGAH tentang kepentingan integriti dalam pekerjaan. Integriti bukan hanya sekadar slogan atau dasar, tetapi ia adalah nilai kehidupan dan budaya kerja yang mesti dihayati setiap masa. Elakkan ketirisan, penyalahgunaan kuasa, atau kebocoran maklumat yang boleh menjejaskan nama baik organisasi.”

Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi Pertandingan Keceriaan yang melibatkan beberapa kategori, antaranya rumah kakitangan, bahagian/unit, pejabat perbandaran, anak syarikat, bangunan milikan KETENGAH, serta Pusat Komuniti Desa (PKD).