PROGRAM MENGETEH PENGURUSAN KETENGAH BERSAMA KOMUNITI DAN ZIARAH KASIH BANDAR AL MUKTAFI BILLAH SHAH (AMBS)

Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, 16 Ogos 2026 – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) terus memperkukuh hubungan silaturahim dan kebersamaan bersama masyarakat melalui Program Mengeteh Pengurusan KETENGAH Bersama Komuniti dan Ziarah Kasih Penduduk Memerlukan di sekitar Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun, hari ini.
Program tersebut telah dihadiri oleh Yang Mulia Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH, bersama barisan Pengurusan KETENGAH. Program dimulakan dengan sesi minum pagi dan santai bersama masyarakat di Warung Kak Yah, Simpang Utama SMK Durian Mas, AMBS, yang menjadi platform untuk beramah mesra serta mendengar secara langsung pandangan, keperluan dan aspirasi masyarakat setempat.
Seterusnya, rombongan Pengurusan KETENGAH meneruskan kunjungan ke beberapa kediaman pemohon Bantuan Yayasan KETENGAH bagi bantuan berkaitan rawatan dan perubatan.
Tiga penerima telah menerima bantuan tersebut iaitu Puan Zuraini binti Abd Rahman di Taman Abadi, Puan Adibah binti Rosli dan Puan Norizan binti Hussain di Taman Indah, Bandar AMBS.
Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan KETENGAH dalam memastikan kebajikan masyarakat di wilayah operasinya terus diberi perhatian, di samping memperkukuh peranan organisasi dalam mendekati komuniti secara lebih dekat dan menyantuni golongan yang memerlukan.
Program kemudiannya diakhiri dengan Penyerahan Peralatan Siaraya (PA System) kepada Surau Taman Indah, Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun. Sumbangan tersebut telah diserahkan kepada Encik Ramli bin Said, Pengerusi Surau Taman Indah, sebagai tanda sokongan KETENGAH terhadap aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh komuniti setempat.
Program seumpama ini membuktikan komitmen berterusan KETENGAH dalam memperkasa kesejahteraan komuniti melalui pendekatan yang dekat dengan masyarakat, selain menyemarakkan semangat kebersamaan, keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam pembangunan Wilayah KETENGAH.





