PROGRAM TAMAN PERPADUAN MERDEKA “RUMAHKU SYURGAKU” @KETENGAH 2026 ERAT HUBUNGAN KOMUNITI

DUNGUN, 16 September 2026 – KETENGAH terus komited menyokong pelaksanaan program kemasyarakatan yang melibatkan penyertaan aktif komuniti di Wilayah KETENGAH sebagai usaha memperkukuh semangat kejiranan, perpaduan dan keharmonian masyarakat.
Program Taman Perpaduan Merdeka “Rumahku Syurgaku” @KETENGAH Tahun 2026 merupakan inisiatif gabungan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) yang melibatkan penyertaan enam KRT di Zon AMBS, dengan kerjasama jabatan dan agensi kerajaan berkaitan.
Program yang bermula sejak Jun 2026 ini dilaksanakan secara bergilir di setiap taman perumahan melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan, termasuk gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran serta kerja-kerja pemotongan pokok yang berisiko mengancam keselamatan penduduk.
Sebagai kemuncak program, Majlis Perasmian Penutup Program Taman Perpaduan Merdeka “Rumahku Syurgaku” @KETENGAH Tahun 2026 telah berlangsung pada 16 September 2026 bersempena dengan sambutan Hari Malaysia. Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan komuniti setempat, antaranya Sukan Rakyat, Nyanyian Lagu Patriotik, Pertandingan Keceriaan Taman dan Kebersihan Halaman Rumah serta sukaneka.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YBhg. Encik Mohd Rosli bin Alias, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu.
Turut hadir YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH; YBrs. Encik Zainuddin bin Haji Md. Zaki, Pengerusi Program Taman Perpaduan Merdeka “Rumahku Syurgaku” @KETENGAH Tahun 2026; dan YBrs. Encik Zaki bin Saman, Penyelaras Program.
Penganjuran program ini mencerminkan semangat kebersamaan dan kerjasama dalam kalangan komuniti setempat, di samping membudayakan amalan gotong-royong, memupuk semangat kejiranan serta memperkukuh hubungan silaturahim antara penduduk.
Inisiatif seumpama ini turut memperlihatkan komitmen berterusan KETENGAH dalam memperkasa komuniti sebagai rakan strategik dalam mewujudkan persekitaran kehidupan yang bersih, selamat, harmoni dan sejahtera. KETENGAH – Bersama Memperkasa Komuniti, Membina Kesejahteraan.





