Sebanyak 40 kit bantuan bencana telah diagihkan kepada penduduk yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Shukor, susulan kejadian banjir yang melanda kawasan tersebut. Penduduk Kampung Shukor terpaksa berlindung di PPS tersebut sejak 17 Disember 2025 selepas kediaman mereka dinaiki air akibat hujan lebat yang berterusan.
Menurut salah seorang mangsa, Tengku Faezah binti Tengku Mahmud, kejadian banjir berlaku dengan begitu pantas “Air naik terlalu cepat pada jam 12.00 tengah malam 17 Disember 2025 menyebabkan kami terpaksa berpindah dan berlindung di sini” katanya. Beliau juga menyatakan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak KETENGAH yang menyalurkan bantuan. “Bantuan ini amat bermakna kepada kami yang sedang berhadapan dengan dugaan besar ini. Kami berharap agar semua ini berlalu dengan cepat dan kami dapat kembali ke rumah masing-masing,” tambah beliau.
Bantuan kit bencana itu telah diserahkan oleh Tuan Haji Abdul Halim bin Yusof, Pengurus Kewangan dan Perakaunan KETENGAH, bersama-sama pegawai dari Bahagian Hartanah dan Kuasa Tempatan. Turut hadir, Skuad Ihsan Madani KETENGAH yang membantu dalam pengagihan bantuan.
Walaupun keadaan banjir telah surut sepenuhnya, para penduduk dinasihatkan umtuk terus berlindung di PPS berkenaan memandangkan amaran hujan berterusan (waspada) yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia sehingga 19 Disember 2025.












