logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

Kejohanan Petanque Anjuran Komuniti AMBS dan Kelab Keluarga KETENGAH Perkukuh Perpaduan Komuniti

Komuniti Al Muktafi Billah Shah (AMBS) dengan kerjasama Kelab Keluarga KETENGAH telah berjaya menganjurkan Kejohanan Petanque yang melibatkan penyertaan sebanyak 31 pasukan. Kejohanan ini berlangsung di Kompleks Sukan Bandar Al-Muktafi Billah Shah dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada komuniti setempat. Walaupun cuaca hujan, semangat juang para peserta tetap berkobar-kobar untuk meneruskan perlawanan.

Menariknya, setiap pasukan yang menyertai kejohanan ini telah memilih nama kampung yang terdapat di wilayah KETENGAH sebagai nama pasukan masing-masing. Pemilihan nama kampung ini bukan sahaja melambangkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan peserta, malah turut memperkenalkan nama-nama kampung yang ada di wilayah KETENGAH.

Pada perlawanan akhir, Pasukan Kampung Shukor berjaya mengungguli kejohanan ini dengan menewaskan Pasukan Kampung Serdang dalam perlawanan yang sangat sengit dan mendebarkan. Kemenangan ini membolehkan Kampung Shukor meraih hadiah tempat pertama dan diiktiraf sebagai juara kejohanan. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Pasukan Kampung Jongok Batu, manakala Pasukan Kampung Talong berjaya meraih tempat keempat.

Kejohanan ini bukan sahaja berjaya menonjolkan bakat dan kemahiran peserta dalam sukan petanque, malah turut memperkukuhkan lagi semangat kesukanan dan kerjasama antara komuniti di wilayah KETENGAH. Kejohanan ini juga berperanan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk setempat, serta memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi dalam suasana yang lebih santai dan penuh kegembiraan.

Tahniah diucapkan kepada semua pemenang atas pencapaian yang membanggakan. Tidak dilupakan juga kepada semua peserta yang telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan menjadikan kejohanan ini satu pengalaman yang berharga.