Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menganjurkan program pengisian rohani Bayanul ‘Ilm (Penerangan Ilmu) sebagai penutup tirai Tahun 2025, bertempat di Masjid Sultan Mahmud.
Program tersebut telah menghimpunkan komuniti setempat sekitar Bandar Al Muktafi Billah Shah bersama pengurusan serta warga kerja KETENGAH, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dan hubungan erat antara agensi pembangunan itu dengan komuniti setempat.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah dan diteruskan dengan ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Haji Mokhtar bin Haji Yaacob, Penceramah Bebas.
Dalam ceramah bertajuk “Pemerkasaan Iman dan Akhlak”, beliau menekankan kepentingan menjaga solat lima waktu kerana solat itu merupakan tiang agama. Solat menghindarkan seseorang muslim daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT dan solat dapat membentuk akhlak yang mulia, berintegriti, amanah dan bertanggungjawab. Disamping itu beliau menyeru hadirin supaya sentiasa bersedekah dan menginfakkan harta ke jalan Allah.
Menurut beliau, pemerkasaan iman dan akhlak bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, malah turut menyumbang kepada keharmonian organisasi dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan, khususnya dalam mendepani cabaran kehidupan moden yang semakin kompleks.
Penganjuran program tersebut selaras dengan komitmen KETENGAH dalam melahirkan modal insan yang seimbang dari aspek rohani dan profesional, di samping memperkukuh penglibatan komuniti dalam aktiviti pengisian ilmu dan pembangunan insan.
Program Bayanul ‘Ilm itu sekali gus menutup Tahun 2025 dengan pengisian yang bermakna, sebelum warga KETENGAH dan masyarakat setempat melangkah ke Tahun Baharu 2026 dengan azam serta semangat baharu.


















