MAJLIS JASAMU DIKENANG, BUDI DISANJUNG RAI BEKAS KEPIMPINAN KETENGAH

KUALA TERENGGANU, 12 Julai 2026 – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) telah menganjurkan Majlis Jasamu Dikenang, Budi Disanjung sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepada bekas Timbalan Pengurus Besar serta bekas Timbalan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa PUSPANITA Cawangan Kecil KETENGAH yang telah menabur bakti sepanjang perkhidmatan mereka.
Majlis yang berlangsung di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu itu diraikan bagi menghargai jasa Tuan Haji Ahmad Fakarudin bin Ahmad, mantan Timbalan Pengurus Besar (Operasi); Encik Zainuddin bin Haji Md. Zaki, mantan Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan); Puan Hajah Siti Shamsidar binti Zainuddin; dan Puan Rohani binti Embong yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi serta Ahli Jawatankuasa PUSPANITA Cawangan Kecil KETENGAH.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengurus Besar KETENGAH, YM Dato' Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa. Dalam ucapan beliau, majlis berkenaan bukan sekadar satu acara persaraan, malah merupakan penghormatan kepada individu yang telah melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi, komited dan berintegriti sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Beliau berkata, sumbangan yang diberikan oleh kedua-dua mantan Timbalan Pengurus Besar serta kepimpinan PUSPANITA Cawangan Kecil KETENGAH telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan organisasi serta menyumbang kepada kecemerlangan KETENGAH.
"Majlis pada hari ini bukan sekadar satu acara rasmi untuk meraikan persaraan, tetapi merupakan sebuah penghormatan kepada perjalanan hidup yang dipenuhi dengan amanah, dedikasi dan pengorbanan. Kita hadir bukan untuk mengucapkan selamat tinggal, tetapi untuk merakamkan penghargaan kepada tokoh-tokoh yang telah mewarnai perjalanan KETENGAH dengan ilmu, pengalaman dan kepimpinan yang tidak ternilai," katanya.
Beliau turut mendoakan agar semua yang diraikan sentiasa dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, ketenangan jiwa, kebahagiaan bersama keluarga, rezeki yang diberkati serta ganjaran terbaik daripada Allah SWT atas segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan sepanjang berkhidmat di KETENGAH.
KETENGAH merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang diraikan atas segala khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan. Semoga mereka terus dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan serta kehidupan yang sentiasa diberkati.





