Cyberjaya, 31 Mac 2026 – Dalam era globalisasi dan ledakan teknologi maklumat, pendigitalan sektor awam menjadi satu keperluan yang tidak boleh dielakkan. Malaysia, sebagai sebuah negara yang sedang menuju ke arah negara maju, turut memberi penekanan terhadap transformasi digital dalam pentadbiran kerajaan.
Bagi memperkasakan agenda pendigitalan di KETENGAH, pihak pengurusan KETENGAH telah mengadakan lawatan kerja ke TM Klang Valley Data Center, Cyberjaya sebagai langkah memperkukuh pemahaman terhadap infrastruktur pusat data berteknologi tinggi yang dikendalikan oleh Telekom Malaysia melalui TM One.
Delegasi KETENGAH disertai oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Tuan Haji Mahdi Amin bin Ahmad, Pengurus Kewangan dan Perakaunan, Puan Fadhlina binti Mohamed, dan Pengurus Pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Encik Hazroll Eizwal bin Jasni.
Lawatan ini telah disambut oleh barisan pengurusan dan pakar teknikal TM yang diketuai oleh Pengurus Besar TM Wilayah Timur, Encik Ahmad Nazri bin Ambi, bersama Ketua TM One Terengganu, Tuan Haji Muhamad Ridwan bin Ibrahim, dan Pengurus Akaun TM One Terengganu, Encik Zuwairi Aiman bin Che Mat. Mereka turut berkongsi kepakaran dalam bidang pusat data, keselamatan siber dan pengkomputeran awan.
Sepanjang lawatan tersebut, delegasi KETENGAH berpeluang meninjau fasiliti pusat data TM di Cyberjaya, termasuk bilik pelayan, sistem keselamatan berlapis, serta pusat pemantauan operasi yang menjadi tulang belakang kepada perkhidmatan digital masa kini.
Lawatan ini bukan sahaja memberikan pendedahan teknikal, malah membuka ruang kepada kerjasama strategik antara kedua-dua pihak. KETENGAH terus komited memacu transformasi digital ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, selamat dan berimpak tinggi kepada masyarakat.











